Tunda undian
Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my
 |
IMBAS KEMBALI...pasukan Bertam Ulu bergambar bersama piala dan hadiah selepas menjuarai Terbuka Lelaki pada Grand Final tahun lalu. |
TARIKH undian Grand Final Karnival Futsal i-Metro yang sebelum ini dijadualkan berlangsung esok, akan ditunda kepada 11 Ogos berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan.
Jawatankuasa Karnival Futsal i-Metro memohon maaf di atas sebarang kesulitan berikutan pindaan yang terpaksa dilakukan itu.
Semua wakil 96 pasukan ke Grand Final dijemput menghadiri sesi undian berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Balai Berita New Straits Times Press (M) Bhd, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, pada jam 11 pagi, 11 Ogos ini.
Pengurus atau ketua pasukan digalakkan hadir pada majlis undian itu dan jika ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan berhubung pertandingan berkenaan, mereka boleh mengajukan soalan kepada jawatankuasa teknikal pada hari berkenaan.
Grand Final akan dilangsungkan di Sport Planet Gong Badak, Kuala Terengganu pada 15 dan 16 Ogos dalam usaha merebut gelaran juara antara juara yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM78,200, selepas tahun lalu dikuasai pasukan Bertam Ulu FC.
Sementara itu pasukan yang sudah melayakkan diri diminta mematuhi peraturan bagi mengelak disingkir daripada saingan dan pengurus atau ketua pasukan perlu membuat pendaftaran semula pasukan masing-masing dengan mengisi borang khas yang dikeluarkan sebelum atau pada 9 Ogos (Sabtu).
Jawatankuasa turut membenarkan pasukan membuat dua pertukaran pemain namun perlu disertakan surat tunjuk sebab mengapa pemain berkenaan tidak dapat beraksi namun setiap pasukan sama sekali tidak dibenarkan menukar pemain sesama mereka.
Jika didapati berlaku perkara sedemikian, penganjur tidak akan bertolak ansur untuk menyingkirkan pasukan terbabit.
Penganjur akan membuat semakan semula berdasarkan senarai nama yang didaftarkan sebelum ini.
Perlawanan bagi Terbuka Lelaki ditetapkan pada 15 Ogos bermula jam 5 petang hingga peringkat separuh akhir dan akan disambung pada keesokan hari bermula jam 3 petang.
Terbuka Wanita dan Bawah 17 Tahun beraksi keesokan hari, 16 Ogos bermula jam 8 pagi hingga final.
|
|