Darul Naim unggul

Oleh Lokman Zainal Abidin, Aida Adilah Mat, Alias Abd Rani, Bazly Azmi


TROFI juara agung Karnival Futsal i-Metro 2008 kini menjadi milik Darul Naim apabila menewaskan Lotuscon, 3-0 pada final Grand Final kategori Terbuka Lelaki di Sports Planet Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Kejayaan wakil Kelantan itu menyaksikan terlucutnya status juara musim lalu yang dipegang Bertam Ulu selepas tewas 1-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir.

Lebih manis, kedua-dua finalis adalah pendatang baru edisi ketiga kali ini sekali gus membenam reputasi skuad elit dari Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Aksi Terbuka Wanita memperlihatkan pertembungan wakil Kuala Lumpur dengan Red Chillies muncul juara hasil kemenangan 1-0 ke atas Figos Phoenix pada final. Kejayaan itu di luar jangkaan kerana Figos Phoenix beraksi dengan reputasi selaku juara Zon Selatan sementara Red Chillies hanya pendatang baru karnival.

Kehangatan final kian membara bagi cabaran Lelaki Bawah 17 Tahun yang menemukan dua juara zon iaitu Kuweng FC (Tengah) dan JFA2010 (Selatan). Pujian layak diberikan buat JFA2010 apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 3-2.

Selaku juara Terbuka Lelaki, Darul Naim meraih RM15,000, Red Chillies merangkul RM8,000 manakala JFA2010 membawa pulang RM7,000.

Selain wang tunai, juara kategori turut merangkul Piala Pusingan Grand Final Futsal i-Metro, trofi dan hadiah iringan.

Penyertaan edisi ketiga karnival futsal terbesar Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM216,200, mencatat rekod baru membabitkan 1,307 pasukan bagi keempat-empat zon bermula Mac lalu.

Turut hadir menyaksikan final ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Abdul Ghafar Ismail.

Karnival selama dua hari bermula Jumaat lalu yang menerima tajaan Kerajaan Negeri Terengganu dibanjiri lebih 8,000 pemain dan peminat seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © Harian Metro Online. Hubungi Team Metro untuk sebarang maklum balas.