Ibadat bulan Syaaban
Antara kelebihan Syaaban ialah:
Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri seperti dijelaskan hadis berikut: “Kelebihan bulan Syaaban terhadap semua bulan seperti kelebihan terhadap semua nabi manakala keutamaan bulan Ramadan itu terhadap semua bulan seperti keutamaan Allah Taala kepada hamba-Nya.”
Allah S.W.T mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Dalam bulan ini, Allah banyak memberi rahmat dan kurnia kepada hamba-Nya. Mengenai rahmat Allah ini, Rasulullah s.a.w ada bersabda, maksudnya: “Allah mengangkat amalan-amalan semua hamba-Nya pada bulan ini.”
Hadis ini bermaksud, Allah menerima semua amalan yang dilakukan oleh hamba-Nya pada bulan ini. Rasulullah juga pernah memberitahu kalangan sahabat mengenai bulan Syaaban. Bulan terbabit dinamakan demikian kerana pada bulan itu, Allah banyak memberikan rahmat kepada hamba-Nya.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Adakah kamu semua tahu kenapa dinamakan Syaaban? Kalangan sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda berkata: Kerana di dalam bulan itu kebaikan berkembang dengan banyak sekali.”
Orang yang berpuasa pada bulan ini amat besar pahalanya. Rasulullah pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa berpuasa tiga hari daripada permulaan Syaaban, pada tiga hari pertengahannya dan tiga hari akhirnya, maka Allah S.W.T akan mencatat baginya pahala 70 orang nabi dan ia adalah seperti orang yang beribadat kepada Allah Taala selama 70 tahun. Andainya ia mati di tahun itu, ia adalah seperti orang mati syahid.”
Dalam riwayat yang lain dikatakan, antara kelebihan berpuasa pada bulan Syaaban itu ialah:
Sesiapa yang berpuasa pada Isnin yang terakhir dalam bulan Syaaban akan diampunkan dosanya.
Mereka yang berpuasa pada Khamis pertama dan Khamis terakhir bulan Syaaban akan dimasukkan ke dalam syurga.
Mereka yang berpuasa sunat sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya daripada api neraka dan masuk syurga.
Mereka yang berpuasa tiga hari dalam bulan Syaaban dan berselawat ke atas Nabi sebelum berbuka puasa akan diampunkan dosanya dan diberkati rezekinya.
Mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat sebelum Syaaban, akan dimudahkan Allah ketika sakratul maut, terlepas daripada seksa kubur, ditutupkan Allah aibnya pada hari kiamat dan diwajibkan baginya syurga.
* Sumber: Jabatan Agama NSTP
|