Mahkamah syariah lemah?
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
 |
BEBERAPA tahun lalu, seorang wanita Islam Bosnia datang ke Kuala Lumpur untuk menuntut anak daripada suaminya berbangsa Melayu. Selepas menunggu dari jam 9 hingga 11.30 pagi, Mahkamah Syariah memberitahunya hakim bercuti sakit. |
BEBERAPA tahun lalu, seorang wanita Islam Bosnia datang ke Kuala Lumpur untuk menuntut anak daripada suaminya berbangsa Melayu. Selepas menunggu dari jam 9 hingga 11.30 pagi, Mahkamah Syariah memberitahunya hakim bercuti sakit.
Wanita terbabit begitu kecewa kerana selepas menunggu kira-kira dua setengah jam, baru dia diberitahu.
Satu lagi kes membabitkan tuntutan cerai seorang wanita bukan Melayu, yang kemudian menuntut nafkah anak.
Selepas dibicarakan, dia hanya mendapat tuntutan nafkah anak RM100 sebulan.
Dia yang tidak puas hati memohon mahkamah menaikkan jumlah itu kepada RM300.
Bagaimanapun, wanita itu tambah kecewa kerana terpaksa melakukan sendiri urusan untuk membuktikan kemampuan kewangan bekas suami, termasuk mendapatkan penyata gaji bekas suami daripada majikan.
Baginya, mahkamah sepatutnya mengeluarkan perintah kepada bekas suaminya atau majikan bekas suaminya supaya menghantar penyata terbabit.
Dua kes di atas antara contoh membabitkan orang ramai dan mahkamah syariah.
Melihat sepintas lalu terhadap kes itu, mungkin ada mendakwa institusi keadilan itu tidak adil atau kurang mesra pelanggan.
Benar atau tidak dakwaan itu atau sekadar anggapan pihak yang tidak berpuas hati?
Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata sistem yang ada melahirkan hakim sedemikian.
“Undang-undang yang sudah digubal iaitu enakmen tata cara mal oleh penggubal undang-undang, sama ada hakim itu suka atau tidak, dia terikat.
“Kecuali kita ubah tata cara daripada bentuk ‘judiciary’ (sistem kehakiman negara) kepada ‘administrative’ (berkenaan pentadbiran) supaya ia lebih menjadi mesra pelanggan,” katanya dalam kertas kerja di Seminar Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam di Malaysia: Cabaran Semasa dan Perancangan Masa Depan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Merujuk kepada tuntutan nafkah anak oleh seorang wanita terhadap bekas suaminya dalam contoh kes kedua di atas, beliau berkata: “Kalau ada mediasi, suami itu boleh diajak berbincang.”
Sistem mahkamah syariah adalah satu daripada dua sistem mahkamah berasingan yang diaplikasikan dalam perundangan Malaysia.
Perkataan syariah merujuk kepada undang-undang syariah iaitu undang-undang dalam agama Islam yang mempunyai bidang kuasa terhadap setiap individu Muslim. Undang-undang dwisistem itu berdasarkan Artikel 121(1A) Perlembagaan Malaysia.
Bagaimanapun, ia tidak serupa dengan mahkamah sivil yang mengamalkan sistem pentadbiran persekutuan kerana mahkamah syariah tertakluk kepada negeri secara eksklusif, dengan pengecualian naungan Kerajaan Persekutuan dan kerana itu juga akan wujud perbezaan di antara negeri.
Sesetengah pihak mendakwa perbezaan itu akan menjejaskan kewibawaan mahkamah syariah pada pandangan umum.
Dari segi hierarki, mahkamah sivil mempunyai kedudukan lebih tinggi berbanding mahkamah syariah kerana bidang kuasanya lebih luas.
Bagaimanapun, jika ditinjau dari sudut sejarah tanah air, kedudukan mahkamah syariah sepatutnya lebih tinggi, malah bidang kuasanya luas kerana sebelum kedatangan Inggeris, terdapat sistem undang-undang syariah yang diamalkan dalam masyarakat.
Penubuhan JKSM di peringkat Persekutuan sangat sesuai dalam usaha menyeragamkan undang-undang Islam yang komprehensif, berkesan dan sistematik, sekali gus mempercepatkan pengendalian kes, termasuk kes tertunggak (1992-1995: 63,306 kes).
Dalam usaha memartabatkan mahkamah syariah, JKSM turut bertanggungjawab membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan penyelarasan sistem perundangan syariah di peringkat persekutuan, menyelesaikan masalah kekurangan hakim.
Mohd Naim berkata, JKSM sentiasa berusaha untuk memperkasakan pentadbiran keadilan di negara ini.
Bagaimanapun katanya, pada masa sama, JKSM dan mahkamah syariah sentiasa berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran.
Menurutnya, laporan media terhadap mahkamah juga tidak kurang menjadi satu cabaran yang boleh menjejaskan semangat kerja pegawai syariah di mahkamah syariah.
“Jadi, bagaimana hendak meyakinkan pihak media akan kesungguhan dan komitmen JKSM,” katanya.
Islam dan undang-undang Islam sudah sempurna, tetapi apabila membabitkan pelaksanaan undang-undang itu di mahkamah syariah kadangkala timbul rasa tidak puas hati pihak tertentu.
Jika perkara sebegini tidak ditangani, sudah tentu ia menimbulkan pelbagai tanggapan umum yang kurang enak.
“Islam itu cantik, (kelemahan) itu kesalahan manusia. Apabila namanya manusia, dia melakukan kesalahan,” kata Mohd Naim yang pernah bertugas sebagai hakim syarie. Beliau menegaskan, Nabi s.a.w menyebut ada tiga hakim, dua masuk neraka dan seorang masuk syurga.
“Mereka yang mentadbir mahkamah adalah manusia. Kita manusia, ada kesilapan, sebab itu ada mahkamah rayuan dan ada pembetulan,” katanya.
Dalam kes tuntutan nafkah misalnya, beliau berkata, antara faktor penting yang diambil kira ialah kemampuan suami.
“Jadi plaintif perlu membuktikan (kemampuan suami) untuk dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.
Dalam sistem keadilan di mahkamah, sudah pasti mahkamah sekali-kali tidak memihak kepada mana-mana pihak.
|
|