Adun serah sumbangan kepada 83 surau, 13 masjid
MENJELANG kehadiran Ramadan 1429 Hijrah tahun ini, Biro Agama Islamiah Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menyampaikan sumbangan more kepada surau dan masjid di kawasan itu.
Majlis disempurnakan Adun Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim kepada wakil 83 surau dan 13 masjid di kariahnya di Taman Rasa Tambahan, baru-baru ini.
Sumbangan barangan seperti gula, susu, milo, kopi dan serbuk teh dapat meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.
Beliau berkata, keperluan asas yang diberikan ini bernilai lebih RM15,000 adalah sumbangan ikhlas pejabat ini dengan kerjasama pelbagai pihak lain bagi mendapat keberkatan Ramadan.
“Sepanjang Ramadan, kami mengatur program bermanfaat kepada ahli kariah seperti tadarus al-Quran, solat tarawih dan majlis berbuka puasa.
“Saya merancang ke setiap surau dan masjid untuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama umat Islam di Batang Kali,” katanya.
Bendahari Surau Jalan Ros 2, Bukit Beruntung, Ahmad Daud Alwi, berkata sumbangan dihulurkan ini dapat memberikan manfaat besar kepada ahli kariah sepanjang Ramadan ini.
Setiausaha Surau Al-Muttaqin, Antara Gapi, Shamsuddin Ahmad, berkata 400 jemaah menggunakan surau itu untuk beramal ibadat.
|