Tazkirah Remaja: Sambut tawaran Allah
Bersama Mohd Zawawi Yusoh
HARI ini masuk hari kelima kita berpuasa. Apa rasa apabila berpuasa? Seronok atau tidak? Sebenarnya, seronok atau tidak seronok, kena buat seronok juga.
Seronok memang tidak boleh dibuat-buat tetapi hati boleh diajar dan boleh dibentuk. Saya tekankan perasaan seronok dalam menyambut Ramadan kerana ia membabitkan soal iman.
Buktinya sabda Rasulullah s.a.w (bermaksud): “Sesiapa yang bergembira kerana menyambut Ramadan Allah mengharamkan badannya daripada disentuh api neraka.”
Ya Allah, hebatnya ‘perasaan’ sehingga gembira sahaja sudah dapat menyelamatkan diri daripada api neraka.
Di awal Ramadan begini orang menyambut bulan puasa dengan perasaan yang pelbagai. Ada yang sedih kerana terpaksa berpisah dengan kebiasaan. Teh tarik sudah kena berhenti dulu, rokok sudah tidak boleh berasap.
Ada pula yang tidak rasa apa-apa. Puasa atau tidak puasa, serupa sahaja baginya. Bulan Ramadan atau bulan apa, dia tidak berasa apa-apa. Dua-dua perasaan ini tidak termasuk dalam pengertian hadis nabi di atas.
Perasaan yang termasuk selamat daripada api neraka ialah yang bergembira ketika menyambut, ketika melayani Ramadan dan pakej istimewa iaitu ibadat sunat seperti membaca al-Quran, bersahur, solat Tarawih, bersedekah, iktikaf dan sebagainya, malah akan bersedih dan kesal pula jika ada sebarang kekurangan dan kecacatan.
Kalau gembira sambut Ramadan sebab hendak berniaga di bazar Ramadan atau sekadar hendak buat bisnes semata-mata, itu juga perasaan yang tidak bernilai ‘Ramadan’.
Gembira bersama Ramadan juga dapat kita ukur bagaimana kita melayani tuntutan puasa sama ada menjaga yang wajib, tambah dengan yang sunat bagi mengukuh yang wajib, tinggalkan yang haram malah tidak mendekati yang makruh.
Orang yang mempunyai kualiti iman, berpuasa bukan hanya menjaga supaya tidak batal puasa tetapi juga menjaga jangan sampai batal pahala puasa.
Mengumpat, puasa memang sah tetapi pahala tidak ada. Itu maknanya jaga jangan sampai batal atau hilang pahala puasa. Mengintai, mengadu domba, berjudi, memaki hamun, itu juga perbuatan yang membatalkan pahala puasa.
Orang yang berperasaan gembira mesti menyambut puasa dengan ibadat dan bukan dengan adat. Antara ciri menyambut puasa dengan menganggap bulan puasa ialah bulan beribadat dan menyambut pelbagai tawaran Allah serta mentarbiyah nafsu.
Manakala menyambut puasa kalau dengan adat sahaja lebih mementingkan pelbagai tawaran persiapan raya. Belum apa-apa sudah hendak beraya, baju raya, kuih raya, pilihan raya dan macam-macam raya lagi.
Menyambut puasa sebagai bulan ibadat akan mendorong seseorang memakmurkan masjid dari awal Ramadan hingga akhir Ramadan, manakala mereka yang menyambut puasa dengan adat memulakan Tarawih dengan seronok tetapi mengakhiri dengan comot, mula-mula penuh, makin hujung Ramadan safnya makin maju ke depan.
Kenapa maju ke depan? Sebab sudah kosong di belakang, jadi makmum semakin kurang, tinggallah beberapa saf di bahagian depan.
Menyambut puasa dengan ibadat akan membuatkan kita bersungguh-sungguh pada sepuluh akhir Ramadan, beriktikaf mencari Lailatul qadar, manakala mereka yang hanya secara adat menyambut sepuluh akhir Ramadan, akan berjaga membuat kuih dan bermain mercun.
Kadang-kadang jemaah masjid pun terkejut dan terkedu dengan letupan meriam buluh. Begitu juga menyambut Ramadan dengan ibadat membuatkan kita bersedih dengan pemergian Ramadan, entah diterima atau tidak amalan sebulan Ramadan.
Bagi yang menyambut dengan adat, makin ke penghujung makin merdeka dan roh Ramadan tenggelam sekelip mata. Semoga Ramadan kali ini yang terbaik pernah kita persembahkan untuk Allah.
|
|