Musafir bertujuan baik diharuskan berbuka puasa
PADA hari-hari terakhir Ramadan sesetengah di antara kita akan pulang ke kampung halaman, untuk beraya dengan ibu bapa dan saudara mara, baik yang dekat mahupun jauh, sehingga mengambil masa berjam-jam untuk tiba ke destinasi ditujui.
Islam tidak memberatkan umatnya dan kerana itu orang yang melalui perjalanan yang jauh, disebut juga musafir dibolehkan berbuka puasa.
Ayat 185, surah al-Baqarah, menjelaskan: “...dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Walaupun puasa itu wajib ditunaikan sebulan Ramadan, ada keringanan dalam agama bagi golongan tertentu untuk tidak berpuasa pada tempoh terbabit dan dibenarkan berbuka, seperti mereka yang melalui perjalanan yang jauh.
Mereka yang musafir atau melalui perjalanan yang jauh melebihi jarak dua marhalah (kira-kira 90 kilometer) saja dibenarkan berbuka.
Dalam satu hadis Nabi s.a.w keluar menuju Makkah pada tahun pembukaan Makkah. Ketika itu Nabi berpuasa bersama sahabat. Ketika sampai di satu tempat bernama Kura' al-Ghamim diberitahu kepada baginda yang sahabat keletihan kerana puasa. Oleh itu, Nabi s.a.w mengambil sebekas air lalu minum selepas masuk waktu Asar. (Hadis riwayat Muslim)
Menurut pendapat sesetengah ulama, keringanan untuk berbuka bagi orang dalam perjalanan jauh atau musafir tertakluk kepada beberapa syarat, iaitu:
Perjalanan yang harus. Ini bermaksud perjalanan yang bertujuan baik, seperti balik kampung, ziarah atau lawatan. Sekiranya tujuan perjalanan seseorang itu untuk kejahatan seperti berjudi, tiada kelonggaran untuk berbuka puasa.
Perjalanan yang bukan selalu. Oleh itu, golongan seperti pemandu bas ekspres dari negeri utara atau Pantai Timur ke ibu kota tidak diharuskan berbuka puasa. Jika diharuskan sudah tentu mereka langsung tidak berpeluang berpuasa penuh sebulan Ramadan pada setiap tahun.
Sesetengah ulama meletakkan syarat perjalanan itu dimulakan sebelum fajar lagi.
Walaupun golongan musafir ini diberikan keringanan untuk berbuka lebih awal, mereka berkewajipan menggantikan puasa terbabit, bukannya boleh ditinggal begitu saja. Mereka dikehendaki menggantikan puasa yang ditinggalkan kerana musafir pada hari yang lain.
|
|