Ulasan Majalah: Pelaksanaan syariat Islam berasas ilmu wahyu
Tajuk: Solusi: Panduan Hidup Bersyarat
Terbitan: Telaga Biru Sdn Bhd
Harga:RM9 (Semenanjung), RM11 (Sabah & Sarawak)
KEPINCANGAN dalam masyarakat kita hari ini menunjukkan masih ramai yang longgar pegangan agamanya, malah tidak mempunyai ilmu mencukupi sehingga mereka mudah hilang arah tuju.
Untuk memberikan ilmu kepada golongan sasar, Telaga Biru Sdn Bhd menerbitkan majalah Islamik kontemporari bertajuk Solusi, khusus buat mereka yang ‘terkial-kial’ mencari pedoman.
Timbul juga persoalannya; perlu apa lagi sebuah majalah Islam sedangkan banyak majalah seumpamanya di pasaran?
Mungkin tidak perlu tetapi apakah semua usaha perlu dilihat dari dimensi ‘persaingan’ dan semua keputusan dibuat berdasarkan faktor kewangan?
Ini sesuai dengan maksud sepotong ayat suci, berbunyi: “...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...” (al-Maidah:2)
Malah ‘perlumbaan’ untuk melakukan kebaikan perlu sentiasa disuburkan kerana kesudahannya juga baik. Tambahan pula, senario masyarakat kini yang semakin tercalar dengan unsur negatif memerlukan usaha pembaikan.
Jika mahu dikira, kehadiran bahan bacaan berkonsepkan Islamik di pasaran belum mencukupi.
Majalah Solusi lahir untuk menjadi wasilah kesedaran, penghayatan dan pimpinan ke arah pelaksanaan syariat di semua peringkat dan disiplin kehidupan.
Misi utama membantu setiap individu merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna menerusi pendekatan memujuk, saling mengingatkan dan memimpin sesama insan berasaskan prinsip dakwah dan tarbiyah.
Ia diketengahkan melalui tulisan, gambar dan reka letak yang serba guna dan dinamik. Semua itu diadun untuk menterjemahkan model ‘mukmin profesional’ yang mempunyai integriti (al-amin) dan kepakaran (al-qawwi) dalam tugasan, peranan dan tanggungjawabnya.
Sesuai juga dengan penegasan Allah bermaksud: “Salah seorang dari keduanya berkata: Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah.” (al-Qasas: 26)
Solusi ingin memantapkan pelaksanaan syariat Islam berasaskan kesepaduan ilmu wahyu (seperti ilmu ketuhanan, syariat dan akhlak) dengan ilmu akal (seperti sains, matematik, sejarah dan geografi).
Pelbagai topik dibincangkan setiap bulan, termasuk persoalan dalam bidang muamalat, perkahwinan, tafsir al-Quran, kekeluargaan, isu remaja masa kini, masalah berkaitan seks dan banyak lagi.
Kolumnis yang ditampilkan dalam majalah ini juga begitu prolifik dan berwibawa, antaranya Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Siti Nor Bahyah Mahmood, Zahazan Mohamed, Dr Irfan Khairi dan Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.
Asas majalah ini ialah panduan hidup bersyariat menjadikan ia bahan bacaan yang mesti dimiliki oleh sesiapa sahaja yang ingin kepada petunjuk jalan kebenaran.
Melalui Solusi pembaca bukan saja tahu mengenali masalah, malah mampu menyelesaikannya. Itulah matlamat serta maksud Solusi sebenarnya dan isu perdana majalah ini sudah menjengah pasaran sejak 1 Ogos lalu, yang difahamkan mendapat sambutan memberangsangkan dari pembaca.
|
|