Dua juta 'serbu' Makkah
Susunan Idris Musa
idris@hmetro.com.my
MUSLIM berduyun-duyun ke Makkah dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan yang mulia, iaitu waktu kegemaran bagi ibadat umrah, dua bulan sebelum musim haji yang menjadi tanggungjawab bagi setiap muslim berkemampuan menunaikannya.
Ibadat umrah dalam tempoh yang singkat ini menarik lebih dua juta muslim dari seluruh dunia, lebih-lebih lagi penduduk Arab Saudi sendiri.
“Kenapa saya membelanjakan 1,000 Riyal (RM1,000) bagi sebuah bilik bila saya dapat tidur di masjid, di depan Kaabah? Ini rumah Tuhan,” kata Abdullah Faraghani dari Yemen, merujuk kepada struktur hitam di tengah Masjidil Haram, yang mana muslim seluruh dunia bertumpu kepadanya.
“Di samping itu, saya datang pada Ramadan untuk bermuhasabah, bersolat dan memohon ampun,” katanya, ketika berkongsi juadah nasi dan ayam bersama jemaah yang lain.
Majoriti mereka yang tidak dapat menginap di kediaman lima bintang di sekitar masjid datang dengan pakej yang lain.
Kini Makkah adalah sebuah kawasan yang pesat membangun dengan hotel eksklusif, kondominium dan pusat beli belah di sekitar masjid.
“Mereka yang mampu datang untuk 10 hari Ramadan, membelanjakan 10,000 Riyal (RM10,000) bagi kos penerbangan dan penginapan di hotel.
“Tetapi mereka boleh bersolat dari bilik mereka dan dapat melihat Kaabah,” kata seorang ejen pelancong Arab Saudi.
Wanita dari Maghribi, Nayla Bennani, seorang daripada mereka yang bertandang ke Makkah pada musim berkenaan.
“Pertama saya datang bersendirian, jadi saya tidak boleh tinggal di mana-mana,” katanya, sambil menyedut secawan kopi Turki.
“Jemaah boleh menjadi terlalu letih, kerana solat yang lama, mengelilingi Kaabah, berjaga sepanjang malam untuk membaca al-Quran, jadi anda memerlukan tempat yang selesa untuk tinggal,” katanya, yang datang ke Makkah pada Ramadan untuk memberikan tumpuan kepada amal ibadat sepenuhnya.
Antara manifestasi yang dapat disingkap melalui ibadat umrah atau haji dalam Islam ialah persamaan di kalangan umat Islam, tanpa membezakan status atau bangsa. Lelaki hanya memakai dua helai kain putih, manakala wanita dilarang memakai wangian.
Kadangkala pengawal Arab Saudi mengambil tindakan bagi memastikan tiada setinggan di dalam masjid. Sesekali, mereka akan membenarkan pembesar asing merentasi kesesakan orang ramai untuk menyentuh Kaabah dan Hajarul Aswad.
Di luar masjid, Makkah menawarkan gambaran yang jelas mengenai perbezaan hubungan sosial di kalangan umat Islam yang pelbagai bangsa.
Jemaah yang tidak mendapat tempat untuk tidur dekat masjid, cuba melihat gedung beli belah berdekatan, kerana di situ mereka kurang diganggu pihak keselamatan.
Dengan keadaan berjubah, mereka bersiar-siar di kawasan kedai, menawarkan jenama terkenal seperti Givenchy dan Dior. Tetapi sedikit yang membeli.
“Seperti di Monaco atau Saint-Tropez, seorang muslim elit yang kaya dan sering mengembara menjadikan tempat tumpuannya di Makkah,” katanya seorang ejen pelancongan.
|
|