Penduduk Somalia dihimpit perang
Susunan Idris Musa
idris@hmetro.com.my
SEBANYAK 52 gabungan agensi bantuan dipanggil minggu lalu untuk menyediakan makanan kepada berjuta-juta orang awam yang hilang penempatan disebabkan konflik berlaku dan pengabaian oleh masyarakat antarabangsa di Somalia.
“Kami memanggil semua pihak yang terbabit dalam konflik (berbincang) supaya tidak menghalang misi agensi bantuan kepada rakyat Somalia yang terdesak memerlukan bantuan kecemasan,” kata seorang pegawai kumpulan terbabit.
Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya dikejutkan dengan layanan tidak sepatutnya oleh semua pihak bersenjata yang terbabit dalam konflik, sehingga memburukkan lagi krisis kemanusiaan.
Menurut agensi terbabit, sasaran bantuan ialah kepada mereka yang menjadi mangsa konflik sedang berlaku.
“Tahun ini saja, 24 pekerja bantuan dengan 20 daripadanya rakyat Somalia terbunuh ketika bertugas.
“Sebanyak 111 kejadian serangan dilaporkan berlaku, yang mensasarkan agensi bantuan,” katanya.
Bulan lalu, lelaki bersenjata mengarahkan penutupan tiga pejabat kumpulan bantuan Amerika Syarikat, International Medical Corps di wilayah barat daya Somalia manakala pada hujung minggu lalu, pejabat bantuan Muslim Aid-Britain dirompak.
Pada Julai lalu, parti pembangkang, Alliance for the Re-Liberation of Somalia (ARS), menyuarakan untuk melindungi operasi pekerja bantuan di negara terbabit.
Somalia menjadi huru-hara dengan kekejaman sejak tentera kerajaan sementara dan rakyat Ethiopia menyingkirkan Mahkamah Islam yang mengawal sebahagian besar negara sejak 2006. Sejak itu, lebih 1,300 penduduk awam terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal.
Kumpulan bantuan memberikan amaran, krisis kemanusiaan bakal bertambah buruk dalam perang di negara terbabit.
“Hampir separuh penduduk Somalia atau 3.25 juta orang sekarang memerlukan bantuan kecemasan,” katanya, sambil menambah: “Ini menunjukkan peningkatan 77 peratus sejak awal tahun.”
Kumpulan terbabit memberikan amaran, situasi itu dijangka bertambah buruk.
“Bilangan ini meningkat dengan dramatik selepas beberapa tahun lalu melalui kombinasi faktor yang menghancurkan kerana kegoyahan keterlaluan, kemarau dan harga makanan yang tinggi.
“Situasi terbabit dijangka lebih teruk dengan penduduk biasa Somalia menggalas ketegangan,” katanya.
Menurut kumpulan bantuan, kekejaman yang berlaku memaksa beribu-ribu rakyat Somalia meninggalkan rumah mereka sejak beberapa bulan lalu.
“Sepanjang sembilan bulan lalu, 870,000 meninggalkan rumah mereka untuk mendapatkan perlindungan.
“Sejumlah 1.1 juta penduduk berubah tempat tinggal di Somalia hari ini.”
Kumpulan terbabit mengeluh kerana masyarakat antarabangsa sama sekali mengabaikan penderitaan berjuta-juta penduduk Somalia.
“Masyarakat antarabangsa gagal membantu penduduk Somalia.
“Kami meminta masyarakat antarabangsa memberikan keutamaan untuk melindungi penduduk Somalia," katanya.
|
|