FIKRAH DR.SALAM
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri sedia membantu umat Islam yang berhadapan kemusykilan agama. Hantarkan masalah lengkap dengan nama, alamat penuh dan nombor telefon kepada:
Pengarang Rencana, Harian Metro, 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
E-mel: fikrah@hmetro.com.my
|
Setiap orang ada jodoh
SOALAN
SAYA ada masalah mengenai jodoh dan sangat sedih dengan kehidupan keluarga saya. Begini ceritanya; saya ada kakak yang belum berkahwin, sekarang berumur 30-an.
Dahulunya pelbagai ikhtiar dilakukan keluarga, termasuk berjumpa dengan bomoh dan ustaz, malah mereka banyak mengatakan jodoh saya sekeluarga dipagar kerana dengki kepada ibu saya.
Tujuh tahun lalu ibu saya pernah sakit teruk sama ada kerana sakit yang diberi oleh Allah atau perbuatan kianat, saya pun kurang pasti.
Seorang ustazah menasihati ibu membaca al-Quran setiap malam dan syukur pada Allah ibu saya sihat sampai sekarang. Saya pasrah dan reda atas apa yang terjadi kepada keluarga saya.
Paling saya sedih melihat ibu saya sentiasa kelihatan sedih tambahan pula dengan kematian bapa saya tahun lalu. Tetapi saya kagum dengan ibu walaupun sedih tidak pernah mengalah dengan dugaan.
Ibu mana yang tidak sedih melihat anak perempuan tidak berkahwin lagi padahal di kampung semua gadis berkahwin. Saya sendiri pun berusaha juga berkawan dengan lelaki tetapi terputus di tengah jalan. Hati mana yang tidak sedih dengan perkara terjadi.
Kadangkala saya jadi malas hendak fikir pasal jodoh. Saya mendekatkan diri, berdoa pada Allah, berserah sepenuh hati saya pada Allah tetapi walaubagaimanapun keinginan untuk mendirikan rumah tangga macam orang lain tetap ada.
Bagaimana hendak menyelesaikan masalah saya sekeluarga? Hati ini sedih dengan apa yang terjadi dan pasrah dengan apa yang terjadi. Kadang-kadang hati ini menangis dengan apa yang terjadi. Kawan-kawan tidak tahu masalah saya saya sentiasa tunjuk kegembiraan di hadapan mereka.
NUR AIN, Parit Buntar, Perak.
JAWAPAN
ANDA sekeluarga dinasihatkan supaya tidak berputus asa walaupun ahli keluarga belum mendapat jodoh. Setiap orang sebenarnya ada jodohnya. Cuma masanya sahaja belum sampai.
Justeru, banyakkan berdoa kepada Allah supaya dipertemukan jodoh yang baik dan seterusnya dapat berumah tangga dengan aman dan bahagia.
Adalah lebih baik untuk bersedia terlebih dahulu daripada sudut ilmu rumah tangga, tanggungjawab seseorang isteri dan menjadi ibu yang baik. Dengan itu apabila menemui jodoh nanti anda benar-benar bersedia.
Perkahwinan itu sebenarnya suatu tanggungjawab. Berkahwinlah dengan tujuan mencari keredaan Allah dan bukannya mengikut perasaan atau kebiasaan sahaja. Ada yang berkahwin kemudian bercerai.
Sebagai seorang wanita yang baik, janganlah terlalu risau mengenai jodoh. Berserahlah kepada Allah. Di samping itu, buat persediaan dan langkah yang perlu seperti mendapat pertolongan sanak-saudara dan rakan-rakan supaya dicari jodoh.
Usia yang ada pula jangan dipersia-siakan. Masa yang ada digunakan untuk mencari dan membina kecemerlangan diri.
Ia dapat dilakukan dengan mempelajari ilmu agama dan mempraktikkan akhlak yang mulia. Hiasilah dengan agama sebagaimana yang diingini Islam.
Nabi s.a.w pernah bersabda supaya lelaki muslim memilih wanita yang beragama sebagai calon isteri berbanding dengan kriteria lain, iaitu: “Seorang perempuan biasanya dinikahi kerana empat perkara: harta, nasab, kecantikan dan agamanya. Maka utamakan memilih wanita yang beragama, kamu akan rugi (apabila tidak memilihnya).” (Hadis riwayat Bukhari)
|
|