Sentuhan abstrak tudung Anggerik
Oleh Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my
 |
PENAMPILANNYA agak ringkas namun keanggunan tudung Anggerik memang menyerlah. |
PENAMPILANNYA agak ringkas namun keanggunan tudung Anggerik memang menyerlah.
Justeru, rekaan tudung eksklusif ciptaan pemilik butik Anggerik Avenue, Amnas Ibrahim, antara pilihan sesuai untuk digayakan ke pelbagai majlis siang mahupun malam.
Tanpa sulaman, renda atau labuci yang lazimnya menghiasi tudung yang sering digayakan ke majlis, tudung Anggerik mengetengahkan potongan unik serta kepelbagaian coraknya yang cenderung kepada sentuhan abstrak.
Pilihan rona tudung juga rata-rata disesuaikan dengan warna yang mudah disuai padan dengan pakaian misalnya perang, hitam, putih dan biru.
“Potongan tudung Anggerik mempunyai dua bahagian penting iaitu bahagian bercorak yang direka untuk menutupi bahagian dada manakala bahagian selendang yang lazimnya dihasilkan daripada kain tanpa corak.
“Bahagian selendang yang dililit itu pula boleh menghasilkan pelbagai gaya, bergantung pada kreativiti dan keselesaan si pemakai,” kata Amnas.
Lebih menarik, kain digunakan untuk rekaan tudung Anggerik itu bukan saja lembut malah sejuk dipakai seharian.
Ia boleh digayakan tanpa penggunaan anak tudung tetapi ada kalanya kain tudung agak lembut lantas memerlukan anak tudung yang mempunyai bahagian hadapan yang lebih keras bagi membolehkan tudung terbentuk dengan baik.
Pemakaiannya yang agak ringkas juga turut menjadikan tudung berkenaan pilihan sesuai untuk ke pejabat.
Begitu juga jika harus menghadiri mesyuarat di luar daerah, tudung terbabit antara pilihan mudah tanpa perlu memikirkan soal kain kurang kemas atau masa menggosok memandangkan fabrik lembutnya yang tidak berkedut.
Ikuti cara pemakaian tudung Anggerik yang mudah ini:
Gambar 1: Sarungkan tudung yang terdiri daripada bahagian bercorak dan selendang panjang.
Gambar 2: Jika longgar, sematkan kerongsang di bawah dagu.
Gambar 3: Bawa hujung bahagian tudung yang bercorak ke bahu kiri.
Gambar 4: Sematkan kerongsang atau pin pada tudung.
Gambar 5: Lilitkan selendang di kepala (Lilitan dan gaya mengikut kreativiti masing-masing).
Gambar 6: Pada lilitan kedua, sematkan pin pada selendang di bahagian atas kepala. Sedia digayakan.
Terima kasih:
Anggerik Avenue, Tingkat Satu, Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor
Tel: 03-55116800/019-2760513/012-4740500
Penata Rias: Rozana Suman (019-2412414)
Model: Nursuraya Ahmad Shukri
|
|