Cekal harungi hidup
Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my
DI sebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya, tidak ramai yang mengetahui bahawa isteri calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Republikan, Cindy McCain, sebenarnya pernah diserang strok yang hampir menyebabkan anggota badannya hilang upaya.
Sebelum dikenali sebagai bakal calon wanita pertama Amerika, Cindy atau nama sebenarnya Cindy Lou Hensley ini adalah pewaris serta pengerusi syarikat pengedaran bir terbesar di Amerika, Hensley, yang juga seorang usahawan dan dermawan terkenal.
Cindy pernah melewati saat sukar dalam hidupnya apabila beliau diserang strok disebabkan penyakit darah tinggi yang membuatkan kaki dan tangannya hampir tidak berfungsi.
Begitupun, selepas giat menjalani rawatan pemulihan, Cindy akhirnya berjaya mengatasi masalah berkenaan dan kini beliau hampir pulih sepenuhnya meskipun masih mempunyai sedikit masalah dalam mengingat dan menulis sesuatu.
“Sebelum ini saya memang mempunyai masalah darah tinggi tetapi tidak mengambil ubat yang betul kerana beranggapan saya terlalu muda untuk semua itu.
“Seingat saya, sekembali daripada lawatan ke Jepun dan Singapura pada 2004 lalu, badan saya tiba-tiba rasa tidak bermaya dan tidak lama kemudian, seluruh anggota badan hilang upaya. Saya dikejarkan ke hospital dan diletakkan dalam unit rawatan rapi selama dua minggu.
“Saya begitu takut sekiranya tidak dapat bertutur lagi dan tidak sempat menyatakan betapa saya amat menyayangi keluarga. Serangan berkenaan memberi banyak pengajaran dan saya mula sedar betapa pentingnya untuk saya menjaga kesihatan serta mengamalkan kehidupan yang lebih sihat,” katanya.
Pewaris utama pengedar bir ini mempunyai ijazah dan sarjana dalam bidang pendidikan daripada Universiti Southern California.
Beliau dikatakan seorang pelajar aktif ketika menuntut di universiti berkenaan dan turut menjadi ahli dalam beberapa pertubuhan yang memperjuangkan mutu rawatan terhadap kanak-kanak kurang upaya.
Oleh kerana cinta yang mendalam terhadap kerja kemanusiaan, Cindy dikatakan pernah menolak jawatan besar dalam syarikat keluarganya semata-mata untuk menjadi tenaga pengajar kanak-kanak kurang upaya dan Sindrom Down di Sekolah Tinggi Agua Fria, Avondale, Arizona.
“Sejak kecil saya mudah mengasihani kanak-kanak kurang upaya serta mengalami Sindrom Down. Mereka memang istimewa dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada hidup mereka.
“Mengajar mereka sedikit sebanyak memberi pelbagai kemahiran baru kepada saya dan apa yang pasti, kanak-kanak berkenaan membantu saya supaya lebih sabar serta menghargai hidup ini,” katanya.
Cindy turut mengasaskan Pasukan Sukarela Perubatan Amerika iaitu sebuah organisasi bebas yang sudah mengadakan lebih 55 misi bantuan bersama pasukan perubatan ke negara dunia ketiga yang dilanda bencana alam dan perang seperti Vietnam, Kuwait, Iraq, Niracagua, India, Bangladesh dan El Salvador, sejak 1988 hingga 1995.
Selain itu, beliau turut menjadi orang penting dalam menggerakkan beberapa pertubuhan kebajikan serta dilaporkan pernah menyumbang jutaan dolar kepada badan bukan kerajaan yang melakukan misi bantuan ke seluruh dunia.
Dalam pada itu, Cindy turut dikhabarkan pernah mengalami ketagihan dadah penahan sakit yang teruk sehingga memaksa suami serta keluarganya menghantarnya menjalani rawatan pemulihan pada akhir 1990-an.
Ketagihan berkenaan dikatakan berpunca daripada pil penahan sakit yang diambil selepas menjalani pembedahan tulang belakang.
Ibu kepada empat anak, Meghan, John, James dan Bridget (anak angkat) ini memang dikagumi ramai kerana biarpun sibuk menemani suaminya berkempen, beliau masih sempat meluangkan masa bersama keluarga termasuk tiga anak tiri, Doug, Andy dan Sydney, hasil perkahwinan McCain yang terdahulu.
Biarpun pada awal perkahwinan, kehadirannya tidak disukai anak tirinya, Cindy ternyata tidak pernah putus asa untuk memenangi hati dan kini hubungan mereka bagaikan rakan serta saling berhubungan meskipun masing-masing sudah memiliki kehidupan sendiri.
Kata Cindy, beliau menyayangi semua anak-anaknya dan bersyukur kerana suaminya sering menghabiskan masa terluang bersama dengan pelbagai aktiviti yang mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan mereka.
“Ikatan perkahwinan kami menjangkau 28 tahun dan pelbagai susah senang sudah diharungi bersama. Saya bersyukur mempunyai suami sehebat McCain dan memiliki tujuh anak yang cukup membahagiakan.
“Biarpun perjalanan karier McCain masih panjang, sebagai ahli keluarga terdekat, saya dan anak-anak akan tetap menyokongnya tanpa jemu,” katanya.
|
|
|