Nasi beriani paha ayam
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
KAMBING antara menu kegemaran ramai kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri.
Ia menyelerakan sama ada diratah, dicicip bersama roti atau dinikmati dengan nasi beriani.
Hotel Maya Kuala Lumpur menyediakan resipi istimewa dalam pelbagai jenis masakan dan pastinya nasi beriani Johor antara yang mendapat pilihan.
Ketua chefnya, Hasbullah Sabani, berkata menu istimewa ini disediakan khusus buat pengunjung setia hotel berkenaan.
Istimewanya beriani itu apabila dimakan bersama paha kambing adalah masakan paling menarik perhatian umum.
“Paha kambing perlu dimasak dalam jangka waktu yang agak lama jika mahu rasai kesedapannya. Selepas separuh masak, ia perlu distimkan bagi melembutkan dagingnya.
“Untuk menyedapkan lagi masakannya, apabila siap ditumis dengan rempah ratus buatan sendiri dan serbuk beriani yang ditempah khusus dari Johor Bahru, digaul bersama gajus bagi menghasilkan masakan kambing paling sedap,” katanya.
Dimasak secara alacarte dan dengan harga RM45++ (dewasa) manakala kanak-kanak dikenakan separuh harga, anda tidak akan berasa rugi menikmati masakan yang enak itu.
Sebarang pertanyaan, hubungi 03-2711 8601 atau faksimili 03-2711 2277 atau layari laman web: www.hotelmaya.com.my
>Paha Kambing
Bahan:
1 kg paha kambing
150 ml minyak masak
2 gm kulit kayu manis }
1 gm buah pelaga } (A)
1 gm bunga lawang }
1 gm bunga cengkih }
150 gm bawang merah }
50 gm bawang putih } (B)
50 gm halia } dihiris
3 biji cili hijau }
2 biji cili merah } (C)
10 gm daun ketumbar } dikisar
10 gm daun bawang }
1 batang serai (diketuk)
1 biji tomato dibelah 4
30 gm pati tomato } (D)
250 gm rempah beriani }
50 ml susu cair }
50 ml santan } (E)
20 gm kismis }
20 gm biji gajus }
5 gm daun ketumbar } (F)
5 gm daun sup }
Garam dan gula secukup rasa
Caranya:
1. Panaskan minyak dan masukkan bahan (A) & (B). Tumis hingga kekuningan dan kemudian diangkat.
2. Masukkan bahan-bahan (C), buah tomato dan serai.
3. Masak sehingga wangi dan kemudian masukkan bahan-bahan (D).
4. Masukkan kambing dan rebus sehingga masak.
5. Masukkan bahan-bahan (E) & (F).
6. Masukkan garam dan gula secukup rasa
7. Akhir sekali masukkan bahan (A) & (B) yang diangkat tadi dan hidangkan.
>>Nasi beriani
1kg beras basmathi
50 ml minyak jagung
50 ml minyak sapi
100 gm bawang merah }
50 gm bawang putih } (A)
50 gm halia } dihiris
1 batang serai (diketuk) }
1 biji tomato dibelah 4 }
1 biji cili merah } (B)
1 biji cili hijau }
5 gm daun ketumbar }
1 helai daun pandan }
50 gm rempah beriani
1 liter air
10 ml susu cair
5 gm daun sup }
3 gm daun bawang } (C)
10 gm kismis }
10 gm biji gajus }
Garam secukup rasa
Caranya:
1. Panaskan minyak jagung dan minyak sapi.
2. Masukkan bahan (A). Goreng hingga kekuningan
3. Masukkan bahan (B) dan rempah beriani
4. Masukkan beras yang dibasuh dan tumiskan bersama-sama bahan-bahan (A) & (B) tadi
5. Masukkan ke dalam periuk nasi dan campurkan susu cair dan air.
6. Setelah nasi masak, hiaskan dengan bahan (C).
|