Utama konsep halal
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
PRODUK dandanan dan penjagaan diri begitu penting serta tidak terpinggir daripada golongan hawa.
Safi, antara jenama penjagaan diri terkenal di pasaran, memberi kepentingan konteks halal kepada pengguna yang mementingkan jaminan mutu serta kesuciannya.
Pengurus Kanan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman, berkata Safi kebanyakannya digunakan wanita Muslim dengan merumuskan produk suci dalam pelbagai aspek kebersihan demi kepentingan pengguna.
“Safi berpegang kepada prinsip halal dengan tidak menggunakan alkohol dan sebarang bahan berasaskan haiwan (kecuali susu) dalam semua produk peribadinya,” katanya.
Produk Safi disahkan halal oleh Jakim sejak 2005 dan sebelum itu, turut mendapat status sama daripada Jabatan Agama Islam Selangor.
Mahsuri mengakui, pihak syarikat begitu prihatin dan mengambil berat mengenai konsep halal selain mendidik pengguna betapa pentingnya aspek kebersihan dalam penyediaan bahan kepada orang ramai.
Rangkaian lengkap Safi termasuk produk penjagaan kulit, ubat gigi, bedak talkum, syampu, lulur badan, losyen tangan serta kosmetik menjadi kegunaan penceramah terkenal, Siti Nor Bahyah Mahamood, sejak dulu.
Siti Nor Bahyah dipilih sebagai jurucakap jenama berkenaan, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pemilihannya, penceramah itu mengakui tertarik menjadi jurucakap jenama terbabit antara lain disebabkan falsafah Safi sendiri iaitu ‘seiring kehendak syarak’.
“Oleh kerana saya sudah biasa menggunakan produknya sejak dulu, tidak sukar bagi saya menjadikan produk ini sebagai kegunaan sekeluarga.
“Sebelum menerimanya, saya sendiri melakukan sunat istikharah untuk membuat pilihan selain bertanya suami di samping menitikberatkan statusnya yang halal.
“Bagi saya, tanggungjawab yang disandarkan pada saya bukan mudah kerana kesan dan konsepnya mesti dihayati.
“Bagaikan ada kesesuaian antara saya dan jenama ini kerana Safi seolah-olah menjadi pemangkin serta mengajar pengguna betapa pentingnya kebersihan diri,” katanya.
Untuk itu, anak kelahiran Pulau Pinang yang mendapat pendidikan daripada Universiti al-Azhar, Mesir ini mengakui, sepanjang menggunakan barangan Safi beliau berpuas hati kerana kesan diberikan amat ketara dan kebersihannya terpelihara.
“Saya ingin tekankan betapa kadangkala penat kita berdoa kepada Allah dan mempertikaikan mengapa doa kita sukar dimakbulkan. Mungkin kita jarang melihat aspek atau sumber rezeki, pakaian, makanan dan minuman, sama ada sumbernya halal atau sebaliknya.
“Dalam penggunaan barangan tertentu, kita juga harus mementingkan ramuan dan pembuatannya daripada sumber halal.
“Tarikan Safi adalah status halal dan sumber yang diperoleh bahkan, saya difahamkan air yang digunakan untuk proses bahannya juga adalah air paling bersih.
“Sebagai kesimpulan, saya ingin kaitkannya dengan sebuah hadis Nabi, “Bahawa mencari yang halal adalah wajib bagi umat Islam,” katanya.
Siti Nor Bahyah dan wartawan dibawa melawat ke kilang berkenaan baru-baru ini, untuk melihat pemprosesan barangan daripada penggunaan bahan mentah sehingga ke proses akhir termasuk peringkat pembungkusan.
Sepanjang lawatan ke kilang Manufacturing Services Sdn Bhd itu, peserta turut diberi penerangan oleh Eksekutif Pengeluarannya, Mohd Azhar Abdul Aziz.
Menurutnya, Safi melalui pelbagai proses penapisan yang ketat dan benar-benar menepati konsep kebersihan sebagaimana digariskan kerajaan dalam menghapus keraguan masyarakat terhadap tahap kebersihan produk yang dihasilkan.
|