Wanita Luar Negara: Naomi tumpu fesyen amal
Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my
SEKITAR 1990-an, nama supermodel ternama dari Britain, Naomi Campbell, memang popular dan menjadi sebutan penggemar fesyen di seluruh dunia.
Pada waktu itu, tiada siapa yang boleh menidakkan kehebatan Naomi sehinggakan ramai pereka terkenal yang sanggup menunggu bagi mendapatkan khidmatnya untuk memperagakan rekaan.
Kecantikan dan gaya tersendiri yang dimiliki turut mendorong Naomi untuk dipilih dalam senarai enam supermodel paling berkuasa pada era berkenaan (The Big Six) di samping Cindy Crawford, Claudia Schiffer, Christy Turlington, Linda Evangelista dan Kate Moss manakala media Barat turut menggelarkannya sebagai The Trinity, bersama Turlington dan Evangelista.
Kehadirannya dikatakan dapat mewarnai persembahan minggu fesyen di seluruh dunia dan dikatakan antara supermodel yang mendapat bayaran termahal dunia.
Naomi menjadi pilihan kepada ramai pereka terkenal dunia selain turut menjadi pilihan banyak majalah popular antarabangsa untuk mengabadikan wajahnya di muka depan.
Begitupun, karier Naomi dikatakan sudah mula menemui penghujungnya apabila dia terbabit dalam pelbagai kes serangan yang menjejaskan reputasinya manakala British Airways dikatakan mengharamkan dia daripada menggunakan syarikat penerbangan berkenaan.
Oleh kerana perangai buruknya itu, Naomi dipercayai pernah hilang beberapa tawaran lumayan berkaitan peragaan fesyen dan dunia hiburan.
Namun, sejak beberapa tahun lalu, supermodel yang mempunyai ketinggian lima kaki sembilan setengah inci ini dikatakan sudah kembali menggegarkan industri fesyen antarabangsa menerusi pembabitannya dalam majlis peragaan fesyen amal, Fashion For Relief sempena Minggu Fesyen London.
Program kebajikan berkenaan dianjurkan Naomi bersama beberapa lagi penaja untuk mencari dana bagi membantu mangsa bencana alam seperti banjir, taufan serta wanita dan kanak-kanak yang tidak bernasib baik di seluruh dunia.
Terbaru, Naomi menggunakan pengaruhnya untuk menganjurkan majlis peragaan fesyen amal bagi membantu mangsa taufan Katrina di Amerika Syarikat serta wanita mengandung dan kanak-kanak baru lahir di negara sedang membangun.
Menurut Naomi, ramai selebriti Barat dan penggemar fesyen di seluruh dunia mahu membantu mangsa taufan berkenaan tetapi mereka tidak tahu bila dan bagaimana untuk memulakannya.
Katanya, tidak ada manusia di dunia ini yang hanya sanggup melihat kesengsaraan orang lain tanpa melakukan sesuatu untuk membantu mereka.
“Saya sedar, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengumpul wang bagi membantu insan yang memerlukan di seluruh dunia.
“Namun, seperti tahun sebelumnya, saya masih menggunakan pentas fesyen bagi menyedarkan orang ramai untuk tampil membantu.
“Majlis Fashion For Relief ini sangat unik kerana selain dapat memiliki rekaan jenama ternama, orang ramai dapat membantu ramai insan yang kurang bernasib baik,” katanya.
Dalam pada itu, Naomi berkata, orang ramai boleh membeli pakaian yang diperagakan di majlis berkenaan secara lelong menerusi Internet dan ketika majlis berkenaan.
Katanya, antara jenama yang mengambil bahagian dalam lelongan fesyen amal berkenaan termasuk Giorgio Armani, Gucci, Prada, Ralph Lauren, Marc Jacobs, Valentino, Dior, Calvin Klein, Dolce & Gabbana, Anna Sui, Burberry,Viviene Westwood dan Micheal Kors.
“Saya percaya pembabitan ramai pereka ternama ini akan dapat membantu menarik lebih ramai masyarakat di seluruh dunia untuk beramal.
“Program Fashion for Relief ini amat unik kerana selain dapat membantu insan yang memerlukan, masyarakat juga berpeluang memiliki fesyen rekaan pereka ternama menerusi harga lelong. Saya berharap apabila tarikh akhir lelongan tiba, kami akan dapat mengumpul lebih banyak wang berbanding tahun lalu,” katanya.
|