Program amal masyarakat
Teks Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
BENAR kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya dan ia jelas menggambarkan betapa usaha untuk memupuk nilai murni seharusnya perlu disemai sejak kecil.
Menyedari hakikat itu, seramai 180 pelatih sesi pengambilan ketiga, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kuala Kubu Bharu serta 21 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, terbabit dalam menjayakan program amal, Jelajah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Hulu Selangor, Selangor, baru-baru ini.
Penyelaras program, Fauzi Mansor, berkata projek berkenaan diadakan khusus untuk memberi pendedahan dan keyakinan kepada pelajar UPSI serta remaja PLKN, berkomunikasi serta berdepan dengan masyarakat luar.
Dia berkata, ia juga selaras dengan kursus diambil iaitu bimbingan dan kaunseling yang memerlukan mereka mengendalikan khidmat komuniti luar.
Kata Fauzi, pihaknya gembira kerana pelatih PLKN berkenaan sudi bergabung tenaga menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancang seperti gotong-royong membersihkan Pusat Serenti Serendah serta Kampung Tok Pinang dan menjayakan acara sukaneka bagi mengeratkan hubungan mereka dengan masyarakat setempat.
“Program amal ini sebenarnya mempunyai banyak matlamat dan salah satunya ialah menggalakkan remaja untuk mengamalkan kehidupan sihat serta menjauhkan diri daripada terjebak dalam gejala yang tidak bermoral seperti lepak, vandalisme serta menagih dadah.
“Kegiatan sihat seperti ini dapat menghindarkan diri remaja daripada perangkap najis dadah yang menjadi musuh nombor satu negara,” katanya.
Peserta, Mohd Khairil Mohd Khamis, 18, berkata, dia dan rakan berasa bertuah kerana berpeluang menyertai program kemasyarakatan berkenaan.
Dia berkata, selepas sekian lama berada di pusat latihan, adalah amat wajar sekiranya berpeluang untuk bercampur dengan masyarakat setempat dan mempelajari banyak benda berguna menerusi program kemasyarakatan itu.
Pengisian program berkenaan yang mendidik remaja sepertinya untuk menjauhi gejala negatif memang perlu untuk membantu generasi muda sepertinya menjadi insan yang lebih baik dan berguna.
“Selama kami menyertai program ini, tidak pernah sekalipun berasa bosan kerana pengisian aktivitinya memang padat. Setiap kerja yang dilakukan terasa mudah kerana kami melakukannya secara berkumpulan.
“Menerusi program berkenaan, banyak yang saya dan rakan pelajari. Antara yang masih terpahat kukuh di ingatan ialah cara berkomunikasi dengan orang yang lebih berusia serta semangat kerja berpasukan,” katanya.
|