Kerjaya: Ceburi bidang penternakan
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my
MENCEBURI bidang penternakan menjanjikan pulangan lumayan, malangnya ada menganggap bidang itu pekerjaan kelas kedua.
Jika dulu penggunaan peralatan tradisional tidak dapat dielakkan, kini dengan pengenalan pelbagai jentera atau peralatan moden, segalanya menjadi mudah.
Antaranya ialah menerusi kaedah akuakultur. Menerusi kaedah itu, pembiakan ikan atau hasil tanaman dapat dilakukan menerusi teknik moden dan hasilnya bertambah.
Pengkhususan dalam Sains Akuakultur, misalnya membolehkan pelbagai teknik penghasilan baru di bidang penternakan marin terutama air tawar.
Graduan boleh mempelbagai dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran terkini dalam sains pengeluaran ternakan selain menjalankan kegiatan agro industri penternakan secara moden dan komersial sebagai satu perniagaan.
Antara institusi menawarkan program itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Agensi swasta dan kerajaan juga agresif menawarkan peluang menceburi bidang ini selepas menamatkan pengajian dengan menyediakan pelbagai pinjaman mikro dan makro.
Graduan juga boleh melanjutkan pengajian ke peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
Bidang akuakultur wajar diberi penekanan kerana negara perlu mempelbagaikan sumber protein.
Antara bidang utama berpotensi dikembangkan ialah industri perladangan berasaskan rumpai laut, ikan, udang, ketam, gamat dan bioteknologi marin.
Pada masa sama, ia berpotensi meningkatkan spesies ikan bernilai tinggi seperti ikan kerapu, hoi tai kai (ayam laut), patin dan siakap.
|
|