Awasi pengaruh rakan
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my
MASALAH disiplin remaja tidak pernah selesai menjadi bahan perdebatan malah ada yang menuding jari kepada ibu bapa.
Bagaimanapun, pengaruh rakan sebaya juga besar bagi mengubah kehidupan remaja sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.
Bukan menidakkan kegagalan ibu bapa mencorakkan perjalanan hidup anak kerana sebahagian besar sudah menunaikan tanggungjawab dan memberi didikan.
Malangnya, ada anak yang tidak mampu menolak keinginan dan gejolak hati daripada mencuba pelbagai perlakuan sekali gus mengikis dan melupakan asas didikan yang dicorakkan ibu bapa.
Memang tidak salah memberi peluang golongan muda ini mencuba kerana ia kemahiran yang baik untuk berjaya asalkan tidak dibiar bebas tanpa batasan.
Ibu bapa, rakan sebaya, guru dan masyarakat seharusnya bergandingan memantau perlakuan remaja. Mereka masih muda, tentu mahu mencuba pelbagai perkara biarpun kadang kala melanggar norma kemasyarakatan.
Jangan letakkan sepenuh kepercayaan atau terlalu yakin dengan didikan kerana mereka boleh hanyut dan melakukan kesilapan.
Manusia mudah tergoda dengan pujukan, rayuan, keseronokan dan cabaran.
Sungguh bertuah jika remaja berupaya mengemudi diri daripada terjerumus ke lembah hina tetapi bagaimana pula jika gagal. Apakah perlu lepas tangan?
Pada pendapat saya, golongan yang suka menghukum boleh menyebabkan keadaan lebih parah.
Memang sukar menerima jika anak yang dididik dengan kasih sayang boleh berubah laku dan memalukan keluarga tetapi jika mereka insaf, mengapa tidak memberi peluang kedua?
Anak yang sukar mendapat kemaafan keluarga akan cenderung memilih rakan yang boleh menerima mereka.
Jika keadaan ini berterusan, bagaimanakah usaha pelbagai pihak untuk mengekang gejala sedia ada sedangkan tanggungjawab itu bukan terletak seratus peratus pada mereka?
Ibu bapa kelompok paling penting memainkan peranan menjernihkan keadaan. Masyarakat pula harus berganding tangan membantu meringankan bebanan emosi ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah.
Saya percaya, kekuatan jalinan antara ibu bapa, masyarakat dan institusi sekolah boleh membantu mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja.
>Profil
NAMA: Mohd Kamil Abd Shukor
ASAL: Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Ijazah Pendidikan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 1999 hingga 2002
JAWATAN: Guru kaunseling di SMK Vivekananda, Kuala Lumpur
|
|