Mentor: Disiplin pelajar kritikal
Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
TAHAP disiplin pelajar dan remaja kini semakin kritikal dan memerlukan pemantauan atau pendekatan berhemah bagi menanganinya.
Malangnya, segelintir pihak hanya tahu menyalahkan sesebuah institusi sama ada sekolah atau keluarga sedangkan usaha bersama perlu bagi menangani kemelut itu.
Sikap masyarakat yang hanya tahu membebankan tanggungjawab mendidik pelajar bermasalah kepada guru sangat dikesali.
Ibu bapa yang mempunyai sikap menyalahkan guru adalah golongan tidak bertanggungjawab kerana suka mengambil sikap lepas tangan.
Mereka menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab kepada guru dengan harapan pelajar ini akan berubah tapi tidak mahu mengambil inisiatif bersama menyelesaikan masalah.
Sebagai ibu bapa, mereka bertanggungjawab sepenuhnya mendidik dan memberi asuhan kepada anak. Guru hanya membantu sewaktu di sekolah.
Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan mereka sepenuhnya. Ada kalanya ibu bapa dan guru sudah menjalankan tanggungjawab mendidik tapi pelajar pula tidak mahu mendengar kata.
Peranan ibu bapa dan guru seharusnya digabungkan agar mekanisme sesuai dicapai menangani masalah ini.
Contohnya, komunikasi baik antara pelajar, guru dan ibu bapa adalah elemen yang boleh diguna pakai bagi menangani kedegilan semua pihak.
Ada pelajar degil dan tidak mahu mendengar kata, tapi jika pendekatannya betul, tidak mustahil mereka boleh dididik.
Ada pula ibu bapa ego dan tidak boleh ditegur manakala segelintir guru terlalu 'berkira'.
Situasi ini meninggalkan kesan negatif bagi memperbaiki masalah sedia ada.
Saya bersetuju, pendekatan sesuai dalam usaha menangani masalah disiplin adalah melalui pendekatan kaunseling.
Jika dulu kaedah ini kurang berkesan berbanding hukuman berbentuk fizikal, kini sudah berubah.
Kita juga perlu memahami emosi golongan muda yang sensitif.
Menerusi kaedah ini, perasaan pelajar bukan saja boleh diperhalusi malah maruah mereka turut terjaga selain menjurus kepada penyampaian maklumat lebih cepat, telus dan berani.
Pelajar juga lebih yakin kerana memperoleh tahap kerahsiaan tinggi dan jaminan terhadap maklumat diberi tidak akan diketahui pihak lain.
Malah, perbincangan dua hala dan penyaluran maklumat boleh dilakukan di mana-mana saja tanpa paksaan mahupun kerenah birokrasi.
Saya akui ada ibu bapa tidak percaya kepada kaedah ini dan menganggapnya hanya membuang masa.
Tetapi, jika mahu melihat anak mereka berjaya, ibu bapa perlu memberi sokongan.
>Profil
Nama: Ab Aziz bin Mohd Yatim
Asal: Klang, Selangor
Usia: 47 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Universiti Putra Malaysia; Ijazah Sarjana Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jawatan: Pensyarah Kanan Bimbingan dan Kaunseling Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
|
|