Tingkat kemahiran, ilmu
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaiza@hmetro.com.my
GOLONGAN wanita tidak harus berpuas hati dengan pencapaian sedia ada dan perlu mencari alternatif bagi menambah kemahiran atau pengetahuan.
Tanpa mengira sama ada bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa, wanita digalakkan memperbaiki pencapaian diri supaya mampu menjana pembangunan ekonomi keluarga mahupun diri sendiri.
Menyedari kepentingan membantu golongan wanita terutama bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu, Institut Generasi (Generasi), sebuah institusi pengajian milik penuh Bumiputera memberi peluang kepada sesiapa yang berminat mengikuti kursus jangka pendek kelolaannya.
Kaunselor program, Suhaila Osman, berkata Generasi peka peranan wanita, justeru penawaran program sedia ada diharap mampu membantu mempertingkatkan kemahiran diri dan pengetahuan.
Menurutnya, peluang itu terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang dan pencapaian akademik.
“Peluang ini bertujuan membantu khususnya golongan wanita mempertingkatkan kemahiran sedia ada atau menambah pengetahuan.
“Penekanan diberikan kepada golongan wanita kerana mereka salah satu penyumbang kepada ekonomi keluarga. Dengan adanya kemahiran tambahan, ia meningkat kerjaya, kecekapan dan pengetahuan.
“Objektif Generasi adalah menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran dengan sempurna. Dalam senario dunia hari ini, kedua-dua elemen berkenaan penting bagi menjana peningkatan kualiti diri, keluarga dan negara,” katanya.
Tiga program jangka pendek ditawarkan Generasi ialah Sijil Pengurusan Pejabat, Sijil Aplikasi Asas Komputer dan Sijil Perakaunan Berkomputer.
Semua program berkenaan mengambil masa empat bulan dengan jadual waktu fleksibel serta yuran berpatutan.
Menurutnya, Generasi sentiasa komited dalam menawarkan program berkualiti serta berbaloi dengan pelaburan dikeluarkan.
“Kualiti aspek paling utama kerana mahu setiap pelajar berbaloi dengan pelaburan dibuat. Setiap modul dan tenaga pengajar sentiasa dipantau dan berkelayakan.
“Teknik pembelajaran juga lebih kepada konsep jurusan ijazah walaupun program hanya jangka pendek. Paling penting, semua modul disediakan tidak akan membebankan pelajar, lebih praktikal, tanpa tugasan atau peperiksaan.
“Tumpuan lebih kepada aspek teknikal supaya pelajar mudah faham dan menguna pakai kemahiran itu,” katanya.
Sehingga kini Generasi melahirkan lebih 10,000 pelajar. Tahun depan, institut itu menjangka mempunyai 3,000 pelajar aktif.
Seorang bekas pelajar, Azlenda Sumery, 44, berkata keputusannya melanjutkan pengajian kerana ingin mengubah masa depan serta mempertingkatkan kemahiran diri.
“Saya belajar kerana ingin menikmati kehidupan serta ekonomi lebih baik. Bekerja di firma dikuasai bangsa asing memerlukan saya mempunyai kelebihan tambahan untuk bersaing.
“Selepas tamat pengajian, saya kini lebih yakin untuk merancang masa depan. Pelaburan dibuat serta ilmu diperoleh memang berbaloi,” katanya yang juga pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik pada majlis konvokasyen Institut Generasi, baru- baru ini.
Rakannya, Jumaah Md Karim, 40, berkata keputusan melanjutkan pengajian kerana desakan ingin menguasai pengetahuan teknologi maklumat (IT).
“Saya kurang arif mengenai IT hingga menjejaskan peluang kerjaya. Tidak mahu terus ketinggalan, saya mula mencari institut yang boleh menawarkan peluang menambah pengetahuan serta memperbaiki kekurangan.
“Generasi menepati kriteria itu kerana banyak kemudahan disediakan. Meskipun sudah berusia, saya tetap mahu belajar.
“ Pada awalnya memang sukar tapi tenaga pengajar banyak menghulurkan bantuan. Modulnya juga mudah difahami menyebabkan saya mudah menguasainya,” katanya yang kini melanjutkan pengajian tahap kedua dalam Sijil Aplikasi Asas Komputer di Generasi.
Antara faedah ditawarkan Generasi ialah suasana pembelajaran kondusif, lokasi strategik, fasiliti lengkap, modul dalam bahasa Melayu dan jaminan keselamatan.
Setiap pelajar turut memperoleh faedah tambahan iaitu menjadi ahli “Money Come Here’ yang bakal dilancarkan pada tahun depan. Mereka menikmati keistimewaan jaringan Internet untuk berhubung rakan mel kelab alumni serta mengikuti tutorial secara percuma.
Bagi pelajar yang mendaftarkan diri sebelum 10 September ini, mereka layak menerima baucar pengajian RM50.
Sesiapa yang berminat boleh datang ke pejabat Generasi di 51-53 Jalan Leboh Ampang, 50100 Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-20704081.
|
|