Koleksi temasya batik
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my
 |
BAGAI irama dan lagu, seni tenunan dan batik memang tidak boleh dipisahkan dengan gaya hidup masyarakat di negara ini. |
BAGAI irama dan lagu, seni tenunan dan batik memang tidak boleh dipisahkan dengan gaya hidup masyarakat di negara ini.
Biarpun ramai berpendapat ia sinonim dengan fesyen masyarakat Melayu tempatan, tenun dan batik dikatakan mempunyai peminat tersendiri dalam industri fesyen di peringkat antarabangsa.
Menyedari hakikat itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia bersama agensinya, Kraftangan Malaysia, menganjurkan Temasya Batik dan Tenun Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, berakhir 30 Ogos lalu.
Pengisian temasya 10 hari bertemakan Batik dan Tenun Mewarnai Dunia itu padat dengan beberapa program menarik termasuk malam gala peragaan fesyen batik dan tenun.
Malam gala peragaan itu disertai sembilan pereka terkenal tempatan iaitu Datuk Tom Abang Saufi, Datin Sharifah Kirana, Datin Noor Fatimah Ishak, Calvin Thoo, Michael Shu, Kartini Ilias, Nazari Maarus serta Rodziah Md Yusoff dan Ng Swee Kuang.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Tunku Nur Zahirah serta Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shapie Apdal dan isteri.
Sejumlah 100 koleksi pakaian lelaki dan wanita dengan pelbagai tema serta konsep rekaan menggunakan tekstil batik serta tenun diperagakan.
Seperti koleksi sebelumnya, himpunan Tom, Noor Fatimah, Shu, Sharifah Kirana serta Kartini, nyata tidak mengecewakan.
Tampil dengan pelbagai idea menarik dan segar, himpunan enam pereka ini kebanyakannya menjurus kepada fesyen gaun pelbagai saiz, baju kurung, baju pendek beropol dengan kain ketat serta baju dan celana polos longgar, bersesuaian dengan tema diketengahkan.
Dua pereka Kraftangan Malaysia, Nazari Maarus serta Rodziah Md Yusoff memperagakan himpunan 18 rekaan.
|