Manfaat ruang luas
MENGHIAS kediaman biasanya lebih memberikan kepuasan jika penataan mengikut cita rasa dan gaya hidup pemiliknya.
Keutamaan ketika menghias menitik beratkan elemen praktikal dan memanfaatkan keluasan ruang.
Kediaman tampil berbeza dan menyerlahkan keunikan tidak semestinya berasaskan perabot dan aksesori berjenama atau gaya yang diketengahkan orang lain.
Tidak salah jika anda mengambil masa lama membeli perabot sebelum menemui jenis, ukuran dan warna yang menepati cita rasa.
Bagaimanapun ramai yang kurang faham walaupun mendakwa kediaman berkonsepkan bali atau moden kontemporari.
Perlu difahami kediaman mampu menampilkan gaya ringkas dan tenang jika tidak perlu terlalu sarat dengan perabot.
Memilih bidai sebagai penapis cahaya di ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur menyuntik visual unik dan berbeza daripada kebiasaan.
Penggunaan bidai lebih senang dijaga dan sesuai dengan persekitaran serta gaya dalaman rumah.
Selain itu, mungkin dengan cara mengetengahkan pilihan sofa putih dan kerusi kayu antik berlengan pada ruang tamu.
Kemasan ruang berkenaan lebih menarik dengan kehadiran perhiasan tambahan seperti bantal hiasan, jambangan bunga dan lampu berterendak.
Seterusnya ruang menonton pula boleh dibina berkonsepkan terbuka dengan binaan rak panel kayu sebagai penambah seri.
Di ruang makan, lebih menarik jika dilengkapi meja dan enam kerusi yang membawa pandangan terus ke arah dapur kabinet siap dipasang.
Apatah lagi binaan kreatif kabinet pasang siap memanfaatkan keluasan ruang dapur yang terhad.
Dalam menambah seri hiasan, permukaan kabinet boleh dihias lilin, mangkuk, botol dan bekas kaca berisi daun hadir sebagai pelengkap kemasan.
Meja makan juga diceriakan dengan kelengkapan menghidang dan jambangan bunga sesuai untuk tetamu istimewa.
Reka bentuk lampu gantung yang unik turut menceriakan ruang di samping kreativiti diserlahkan melalui kemasan menarik pada bilik air yang bersih dengan perhiasan tambahan seperti aromaterapi dan bunga sebagai penyeri.
Ruang khas di luar rumah boleh diwujudkan untuk merokok yang dihiasi landskap berbatu kecil, bangku kayu, pokok pasu dan batu pemijak.
|
|