Simbol kemeriahan
BUNGA carnation sering menjadi simbol kemeriahan sambutan hari istimewa seluruh dunia seperti Hari Ibu dan majlis perkahwinan.
Kini penggunaannya spesies dianthus caryophyllus itu kian popular di kalangan masyarakat negara ini khususnya sebagai pelengkap konsep taman Inggeris dan moden.
Bunga kebangsaan Ohio, Amerika Syarikat itu biasanya hidup subur pada kawasan bersuhu sederhana sejuk seperti Cameron Highlands, Pahang.
Proses kacukan yang berlaku membuatkan carnation yang dulunya hanya merah jambu kini dipelbagaikan dari segi jenis, warna dan kelopak bunganya.
Menariknya carnation juga dikenali antara bunga keratan yang baik kerana mampu memenuhi ruang kediaman dan santai melalui haruman lembut semula jadi.
Di negara beriklim sederhana, bunga ini sering dijadikan pelengkap taman batu dan perhiasan di sudut taman serba indah.
Malah bunga berkenaan juga mampu mencuri perhatian sekiranya ditempatkan dalam pasu hiasan berdekorasi indah.
Warna menarik, bau wangian seakan cengkih dan daun menghijau menjadikannya lebih ideal untuk ditanam.
Dalam menyerlahkan suasana taman Inggeris dan moden terdapat beberapa panduan penanaman dan penjagaan bunga carnation supaya sentiasa segar serta berseri.
Sebenarnya ia perlu ditanam dalam tanah bersaliran baik dan sekiranya tanah berat digunakan, anda dicadangkan supaya meletakkan banyak kerikil atau pasir untuk membantu sistem pengaliran.
Ia juga bagi memastikan tanah tidak dipenuhi air selain bunga juga perlu terdedah dengan cahaya matahari.
Bagi penanaman terbaik, gunakan kompos taman yang mempunyai dasar dan sistem pengaliran baik.
Biasanya bunga ini mudah terdedah dengan serangan serangga perosak dan boleh menyebabkan anak bunga yang baru membesar terganggu proses tumbesarannya.
Seterusnya gubahan carnation sentiasa segar jika sedikit gula dan cuka dicampurkan ke dalam pasu bunga yang mengandungi air bersih.
Pastikan anda memotong secara serong tangkai paling bawah pada setiap hari kerana dikhuatiri batang cepat reput serta menghasilkan bau kurang menyenangkan.
Gubahan bunga carnation dapat bertahan sekurang-kurangnya seminggu khususnya ruang kediaman berhawa dingin atau mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
|
|