Ternak ikan koi serikan taman
MENGINDAHKAN taman dengan pelbagai elemen semula jadi menyuntik suasana berbeza yang mengilhamkan ketenangan.
Penataan laman hijau lebih tertumpu kepada penanaman taman berpasu dan tumbuh melata di atas tanah lapang.
Kehadiran kolam yang dipenuhi spesies ikan tertentu, tumbuhan air dan jatuhan air terjun mini memukau pandangan serta menghiburkan halwa telinga.
Sekiranya anda memelihara ikan koi atau kap, elakkan ia diletakkan bersama ikan lain.
Bersihkan segera air pada bahagian bawah kolam yang sudah kotor dan busuk kerana ia boleh dikesan apabila ikan peliharaan anda sering kelihatan muncul di permukaan air.
Anda disarankan supaya tidak membuang semua air ketika membersihkan kolam dan tinggalkan sekurang-kurangnya 40 peratus.
Pagi antara waktu terbaik untuk anda membersihkan kolam kerana kandungan klorin ketika itu kurang berbanding sebelah malam.
Biasanya kedalaman terbaik untuk memelihara ikan koi ialah sekurang-kurangnya 36 sentimeter (sm) atau lebih.
Kolam yang terdedah dengan cahaya matahari terik, perlu dipastikan kedalamannya lebih daripada 36 sm.
Gunakan penapis air yang mudah dicuci dan elakkan dari menggunakan bahan mudah mendap najis atau makanan ikan.
Penapis air juga perlu dicuci seminggu sekali untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Bagi anda yang baru selesai membina kolam, air perlu diisi dan dikosongkan semula sebelum memasukkan ikan atau tumbuhan air.
Ia bagi membersihkan segala kotoran dan basuhan terakhir binaan kolam perlu menggunakan bahan pencuci dengan kadar pekatan sederhana.
Kaedah berkenaan dapat membantu mengurangkan kesan bahan pencuci yang dikhuatiri membunuh hidupan air.
Di samping itu, binaan kolam semula jadi pula boleh dimulakan dengan eksperimen menggunakan tumbuhan berbeza.
Tidak perlu risau dengan keadaan lumut yang kian menghijau kerana ia tumbuh secara semula jadi seiring kematangan tumbuhan air lain.
|
|