myMetro

Mengenali spesies ros

Teks dan Gambar Azlan Hafeedz


MENJELANG Hari Memperingati Kekasih, bunga ros atau mawar merah hati menjadi buruan setiap pasangan untuk dihadiahkan kepada kekasih sebagai lambang cinta.



Spesies berbunga sederhana, tunggal serta tumbuh sekuntum bagi setiap dahan itu diklasifikasikan baka liar serta tumbuh melalui habitat asal dengan 250 spesies di seluruh dunia.



Bunga ros daripada famili rosaceae terbahagi dua, klasik dan moden.



Ros klasik dikenali juga ros taman manakala ros moden muncul melalui hasil kacukan dan dikategorikan sebagai sosa spp. 'polyanthas'; rosa spp. 'floribunda'; rosa spp. 'grandiflora'; rosa spp. 'mirrianture rose' dan rosa spp. 'bush' rose.



Pokok ros senang dijaga termasuk sesuai dijadikan pokok spesimen kerana bentuk daunnya yang pelbagai.



Ros daripada spesies floribunda memiliki beberapa kuntuman bunga pada satu tangkai walaupun warnanya kurang menarik serta tidak mampu bertahan dalam tempoh agak lama.



Semua pokok ros memiliki nilai tersendiri dengan bentuk bunganya agak menarik, selain berbunga sepanjang tahun jika diberi penjagaan lebih.



Menariknya, selain mengandungi minyak pati untuk ramuan minyak wangi, bunga ros boleh digunakan sebagai campuran bunga rampai serta dalam ramuan potpuri.



Bagi memastikan pokok ros yang bakal ditanam tumbuh subur, ia memerlukan medium tanaman berasaskan tanah dalam campuran 3:2:1 (tanah peroi: baja kandang: pasir sungai) termasuk menahan kelembapan dengan julat pH antara 5.7 hingga enam tetapi mempunyai saliran baik agar air senang mengalir keluar.



Kebanyakan pokok ros 'gemar' jika ia didedahkan terus kepada cahaya matahari bagi penghasilan bunga yang banyak serta cantik warnanya selain hidup subur di kawasan suhu sederhana antara 17 hingga 25 selsius.



Pokok ros yang ditanam tanpa sungkupan, kurang siraman dan tidak dibaja akan mudah terdedah kepada penyakit dan ancaman perosak seperti kulapuk downy, thrips, kulapuk berdebu dan bintik hitam pada daun.



Sebagai langkah memastikan tumbesaran pokok ros tidak tergugat, kaedah cantasan perlu dilakukan bagi memastikan proses pengeluaran bunga berlaku dengan baik di samping membentuk gubahan pokok dalam serlahan lebih menarik.



Bagi penanaman ros di bawah struktur pelindung hujan pula, gunakan sistem perenjis mikro (micro sprinkler) terutama ketika peringkat tumbesaran pokok sebelum mengeluarkan bunga.



Manakala, sebaik tumbesarannya memasuki peringkat berbunga, sistem pengairan titis pula disyorkan.



Pokok ros memerlukan pembajaan seimbang seperti nitrogen untuk pengeluaran daun; phosfat (sistem akar lebih baik) dan kalsium (keseimbangan serta tahan penyakit).



Bagi meningkatkan saiz bunga, pemakanan dalam bentuk cecair mengandungi kalium pada sukatan tiga gram per liter perlu diberi.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad