Santai, praktikal di Galeri Chandan
Oleh Hartini Mohd Nawi
tini@hmetro.com.my
GALERI Chandan membawa kelainan apabila karya seni digabungkan dengan keindahan hiasan dalaman kerana lazimnya pameran seni menampilkan tema tertentu.
Galeri menempatkan keluasan ruang pameran kira-kira 4,000 kaki persegi itu terletak di Lot 15, Jalan Gelenggang, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, kelihatan mewah tetapi ringkas.
Apatah lagi kini berlangsungnya pameran seni Semangat Chandan: Artis Kontemporari Dari Negeri Perak Darul Ridzuan, yang dijangka berakhir 16 Julai ini.
Pameran membabitkan 21 artis kontemporari Perak itu timbul daripada keupayaan mental dan emosi pelukis dalam menterjemahkan pengalaman serta pertembungan mereka mengharungi cabaran kehidupan.
Dimiliki tiga individu iaitu Datuk Seri Abdul Azim Datuk Mohd Zabidi, Nazli Aziz dan Faisal Ghazali, Galeri Chandan ada keistimewaan tersendiri.
Nama Galeri Chandan dipilih sebagai mencerminkan usaha keras pemilik untuk menghubungkan jurang antara artis dan masyarakat.
Sebenarnya, galeri berkenaan mencetuskan sari pati Bukit Chandan serta satu titik fokal untuk kecemerlangan dari aspek budaya, seni bina, seni dan kraf.
“Kami mahu menjadikan galeri ini fleksibel dan lebih menarik. Ia bukan sekadar sebuah galeri tetapi satu persembahan seni dengan sendirinya melihat kesinambungan suasana ruang dan karya seni,” kata Abdul Azim.
Bermula daripada kemasan di ruang hadapan galeri yang berlatarkan keunikan dinding kaca lut sinar, ia sekali gus membawa pandangan terus ke dalam galeri.
Sebaik melangkah masuk, bersebelahan pintu utama tentunya tidak terlepas pandang dekorasi ringkas set sofa tetamu bergaya moden kontemporari cetusan idea pemiliknya itu.
Karya seni pop Allahyarham Jeri Azhari kelihatan menghiasi dinding ruang berkenaan sekali gus mengimbau kembali keunikan karya itu.
Kehadiran lampu kalimantang yang diletakkan secara tersorok dalam tiang di tengah ruang menerbitkan cahaya bak semula jadi.
“Hampir 20 peratus daripada material dan bentuk asalnya dikekalkan selain kelainan reka bentuk silingnya diberi tumpuan,” kata Abdul Azim.
Reka bentuk unik siling yang disulam susunan kayu di ruang utama galeri itu cukup mencuri perhatian selain mencerminkan keaslian idea.
Kemasan kayu berlamina pada lantai diberi sentuhan kreatif apabila batu hiasan putih memberi petunjuk untuk melangkah lebih berhati-hati kerana bersebelahan tangga turun ke tingkat bawah.
Ketika menuruni tangga ke tingkat bawah, karya batik bermaterial kaca menjadi penghias penjuru dinding.
Berada di tingkat bawah, anda bagaikan dibawa mengembara ke alam seni kontemporari yang dipenuhi pelbagai karya bermesej terbaik bersama dekorasi santai lagi praktikal.
“Setiap karya yang ditampilkan membawa maksud tersendiri dan setiap pengunjung berpeluang menghayatinya dengan penuh keselesaan melalui cetusan idea dekorasi terbaik,” katanya.
Sementara itu, ruang seni dipanjangkan sehingga meliputi laman luar persendirian bangunan yang menawarkan suasana fleksibel untuk menganjurkan sebarang acara.
Pada masa sama, ia turut berperanan sebagai latar keindahan landskap semula jadi mendamaikan.
Mereka yang berminat boleh terus mengunjungi Galeri Chandan atau melayari www.galerichandan.com.
|
|