Patricia pilih konsep zen
MINGGU ini Program Casa Impian terbitan TV3 melakukan pengubahsuaian ruang tamu kediaman Patricia Ananda, 28, di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Patricia, dia menyertai program pengubahsuaian berkenaan untuk memberi sentuhan eksklusif pada ruang tamu kediamannya itu selain hadiah teristimewa buat suami tercinta, Liew Jong Long, 31.
Memilih konsep zen sebagai penataan lengkap ruang berkenaan, suasana lebih ceria bersama kemasan menarik selain disesuaikan dengan cita rasa pemiliknya.
Kemasan setiap dinding diwarnakan dengan tona berbeza dalam menyerlahkan kelainan, fabrik langsir nipis tona lembut dan pilihan perabot ringkas diketengahkan.
Apatah lagi dengan keindahan lantai berlamina yang menjadi pelengkap dekorasi membuatkan suasana ruang tamu kediaman itu tampak berseri.
Tidak ketinggalan, kehadiran Jaclyn Victor sebagai artis jemputan memeriahkan lagi suasana pengubahsuaian itu.
Rancangan realiti pengubahsuaian itu disiarkan TV3 setiap Ahad, jam 12 tengah hari dengan membawakan konsep, wajah dan idea baru hiasan dalaman.
Bagi penonton di rumah yang penyertaan mereka tidak terpilih, jangan risau kerana masih ada peluang menanti mereka.
Hanya tonton Casa Impian setiap minggu dan kumpul jawapan bagi setiap soalan diberikan pada akhir rancangan 13 episod itu.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.tv3.com.my.
|
|