Kediaman luas, selesa
Oleh Hartini Mohd Nawi
tini@hmetro.com.my
BERLATARKAN persekitaran mesra alam, projek pembinaan Mines Waterfront Business Park fasa kedua ternyata menjadi kebanggaan ramai.
Dimajukan Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd itu anak syarikat Country Height Holdings Berhad, projek berkenaan menawarkan pelbagai keistimewaan.
Fasa kedua projek itu mempunyai dua blok iaitu Bay dan Prairie adalah tambahan kepada lima blok sedia ada fasa pertama projek berkenaan.
Menariknya dua blok berkenaan turut mempunyai landskap unik bersama pemandangan indah berkeluasan kira-kira 60 hektar tasik dengan padang golf 18 lubang dan rumah desa yang juga dikelilingi dengan landskap semula jadi.
Blok Prairie setinggi 14 tingkat adalah blok komersial yang mempunyai kawasan sewaan bersih kira kira 66,000 kaki persegi, manakala Blok Bay pula adalah bangunan setinggi 19 tingkat dengan kawasan sewaan bersih seluas kira-kira 106,000 kaki persegi.
Binaan ruang dalaman yang luas dan selesa memberikan pelbagai kelebihan kepada anda dalam melancarkan urusan.
Biarpun masih belum dilancarkan, namun Fasa kedua Mines Waterfront Business Park
itu sudahpun mendapat hasil jualan daripada pembeli yang mengetahui perkembangan projek itu dari mulut ke mulut.
Terdapat juga pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk luar negara dan tempatan yang berminat untuk membeli keseluruhan projek itu yang mempunyai keluasan sewaan lebih kurang 66000 kaki persegi.
Fasa pertama menjadi bukti kejayaan projek berkenaan dan ketika ini 98 peratus daripadanya disewa dengan kawasan sewaan 246,000 kaki persegi.
Ia termasuk penyewa tetap dan terkenal seperti Astro, EMI, Hitachi, Mynic dan Sumitomo.
Apabila fasa kedua itu siap kelak, ia menawarkan pelbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta sebanyak 700 petak.
Sementara setiap tingkat pula memiliki ruang boleh sewa yang dianggarkan 9,000 kaki persegi dengan ketinggian siling 12 kaki.
Selain bakal muncul antara mercu tanda perniagaan terhebat, kemudahan lain yang disediakan seperti set penjana sokongan, empat lif, kawalan keselamatan 24 jam,
restoran mewah, sistem akses kad, tasik dan pemandangan indah lapangan padang golf.
Setiap unit juga dilengkapi sistem penyaman udara berkawalan bagi memberikan keselesaan kepada mereka yang mahu bekerja sebelum dan selepas waktu pejabat atau hujung minggu.
|
|