Pereka muda mencari ruang
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my
 |
MEMANG tidak mudah bagi barisan pereka muda negara seperti Rizman Ruzaini, Khairy Sufi, Nazreen Idris, Anizam Yusof dan Faizal Azraf melakar nama dalam industri fesyen tanah air tanpa sokongan pelbagai pihak. |
MEMANG tidak mudah bagi barisan pereka muda negara seperti Rizman Ruzaini, Khairy Sufi, Nazreen Idris, Anizam Yusof dan Faizal Azraf melakar nama dalam industri fesyen tanah air tanpa sokongan pelbagai pihak.
Tidak ramai selebriti tanah air berani mencuba rekaan mereka kerana masih beranggapan ia tidak sehebat pereka terkenal.
Malah, kebanyakannya masih beroperasi dari rumah dan ini menyukarkan mereka memperkenalkan diri kepada pengguna berbanding pereka fesyen yang mempunyai butik sendiri.
Bagi Nazreen, kehadirannya dalam industri fesyen tanah air semata-mata memeriah dan mempertaruhkan bakat dimiliki.
Dia cuba mencari identiti sendiri dan tidak mahu meniru rekaan pereka senior.
Nazreen yang baru menamatkan pengajian dalam bidang rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui jiwanya masih menebal terhadap fabrik batik serta songket dan mahu mengangkatnya ke peringkat lebih tinggi.
“Kehadiran ramai pereka baru dalam industri fesyen tanah air memaksa saya mencari identiti sendiri.
“Kebanyakan rekaan saya menggunakan dua fabrik berkenaan dan ia jarang disarati dengan manik atau perhiasan berlebihan. Saya senang tampil dengan rekaan yang ringkas tetapi glamor,” katanya.
Bagi Rizman Nordin dari Rizman Ruzaini, kerjasama dengan beberapa selebriti terkenal tempatan membuka laluannya bersama rakan kongsi, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil yang dikenali ramai.
Rizman sedar bukan mudah mereka mencipta nama namun percaya masa mereka akan tiba juga suatu hari nanti.
Biarpun terpaksa bermula dari bawah dan menyiapkan baju dari rumah, dia berpuas hati kerana ia mengajar erti kepayahan.
“Rizman Ruzaini kurang masuk pertandingan, tetapi dengan pelbagai kerjasama yang diberikan, ia membantu memperkenalkan nama kami.
“Antara selebriti terkenal yang mendapatkan khidmat kami ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Ning Baizura, Erra Fazira, Betty Banafe dan Pija,” katanya.
Sementara itu, bekas pemenang ketiga Pertandingan Jarum Berlian 2005, Khairy, berkata untuk menempa nama dalam industri berkenaan tidak mudah kerana masih ramai yang tidak mengenalinya.
Dia yang meminati rekaan Radzuan Radziwil berkata, dia perlu pandai menggunakan peluang untuk mempromosi nama di mata khalayak umum.
“Setiap pereka ada kemahiran masing-masing dan kami percaya dengan bakat Allah mampu memeriahkan industri fesyen tanah air,” katanya.
|