» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Hati
Hati

Kosmetik halal dijamin kualiti

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


MEMBICARAKAN isu kosmetik halal memang tidak mudah kerana ramai di kalangan kita mempunyai persepsi tersendiri.

Namun, pernahkah terfikir bahawa produk penjagaan atau kecantikan yang dipakai setiap hari itu berkemungkinan besar dihasilkan daripada bahan yang terlarang dan haram dari segi agama?

Bagi segelintir pihak, isu ini mungkin kedengaran agak keterlaluan namun sebagai masyarakat Islam, kita dituntut untuk menggunakan barangan yang selamat dan halal.

Begitupun, isu kosmetik halal sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini dan ia sudah sering diperkatakan.



Tetapi, bagaikan ada satu fenomena di kalangan masyarakat kita yang adakalanya langsung tidak mengambil peduli status halal dan tahap keselamatan sesuatu produk sebelum membeli.

Berdasarkan kajian dan tinjauan yang dilakukan, hanya kurang daripada 10 produk kecantikan yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada di pasaran berbanding lebih 40 jenama yang ada.

Justeru, tidak hairanlah jika kurang daripada lima jenama produk kecantikan saja yang berani memasuki Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2008 (Mihas), baru-baru ini.

Jika mengambil pandangan pengeluar, kebanyakan mereka memberi alasan perlu menunggu suatu tempoh yang lama untuk mendapatkan sijil pengesahan halal daripada Jakim.

Namun jika sesuatu produk berkenaan tidak mempunyai masalah dan menepati syarat yang ditetapkan, sijil berkenaan boleh diperoleh dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Aveana Beauty Care, Norlaili Moin, kosmetik halal memang terjamin dari segi kualitinya serta selamat digunakan berbanding produk kecantikan biasa.

Katanya, sambutan hangat yang diterima menerusi produk kosmetik halal, Aveana keluarannya membuktikan masyarakat di negara ini kini semakin prihatin mengenai kepentingannya.

Menerusi jenama Aveana, pihaknya mengeluarkan lapan jenis barangan penjagaan dan kecantikan yang merangkumi pencuci, penyegar, pelembap, krim malam, topeng, skrub, krim penghalang matahari dan penutup noda.

“Aveana yang dikilangkan oleh Le Wangi De Wangi TC Sdn Bhd menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga tahun dan ia menggunakan teh hijau yang berfungsi sebagai ejen penting antipenuaan sebagai bahan aktif utamanya.

“Teh hijau ini mengandungi bahan semula jadi yang membantu mengekalkan kesihatan kulit di samping mencegah kanser kulit. Epigallocatechin gallate (EGCG), sejenis antioksidan yang ditemui dalam teh hijau dapat membantu melambatkan proses penuaan.

“Ia mengandungi sekurang-kurangnya 100 kali lebih efektif berbanding vitamin C dan 25 kali lebih efektif berbanding vitamin E dalam melindungi sel kulit,” katanya.

Ketua Eksekutif I Medikel Pharmaceutical Sdn Bhd, Mohd Yusmat Mamat, pula berkata, bukan mudah untuk sesuatu jenama memiliki sijil halal daripada Jakim kerana perlu mematuhi spesifikasi dan syarat yang ketat.

Pengasas jenama Kels yang memiliki sijil pengesahan halal daripada Jakim ini berkata, untuk memastikan produknya selamat serta halal untuk digunakan, pihaknya mengadakan proses R&D bersama Sirim selama lebih 18 bulan.

Kata Mohd Yusmat, berbanding jenama penjagaan dan kecantikan lain, produk Kels keluarannya menggunakan spirulina sebagai bahan aktif utama dengan campuran herba dan tumbuhan seperti ekstrak mulberi, kacang hazel, timun, enzim nanas serta enzim betik.

Beliau berkata, produk penjagaan dan kecantikan berkenaan adalah kesinambungan daripada barangan pemakanan tambahan berasaskan spirulina yang dikeluarkan Imedikel sebelum ini.

“Untuk mendapatkan sijil pengesahan halal daripada Jakim bukan mudah kerana kami perlu menyediakan secara terperinci bahan formula yang digunakan serta menjalani beberapa ujian.

“Sebelum itu, kami turut menjalankan proses R&D bersama Sirim bagi memastikan produk Kels ini berkualiti dan selamat untuk digunakan.

“Begitupun, pihak Jakim sebenarnya turut turun padang untuk meneliti cara pemprosesan sesuatu produk di samping mengenal pasti siapa pengeluarnya sebelum mengeluarkan sijil halal,” katanya.

Menurut Mohd Yusmat, produk kosmetik yang tidak halal serta mengandungi bahan kimia terlarang seperti merkuri dan hidrokuinon memang banyak di pasaran negara ini berbanding produk halal.

Namun Mohd Yusmat berkata, pengguna terutama wanita perlu lebih berhati-hati ketika membeli sesuatu produk serta seeloknya membeli yang disahkan halal dan selamat oleh Jakim dan Sirim.

“Biasanya produk kecantikan halal di pasaran negara ini tidak menjanjikan hasil yang segera seperti produk yang mengandungi bahan kimia terlarang.

“Produk kecantikan halal yang mengandungi bahan semula jadi seperti ekstrak herba dan tumbuhan perlu dipakai secara konsisten untuk sesuatu tempoh bagi melihat hasilnya.

“Apapun, semuanya terpulang kepada pengguna itu sendiri sama ada mahu hasil yang lambat, tetapi selamat dan halal ataupun hasil yang cepat tetapi berbahaya dan tidak halal,” katanya.

Info Halal:

  • Jakim sebagai badan penyelaras pensijilan halal Malaysia memperkenalkan logo halal baru yang standard di seluruh Malaysia. Logo standard ini menjawab segala persoalan dan kekeliruan yang sering timbul oleh orang ramai memandangkan setiap jabatan agama Islam negeri mengeluarkan logo halal masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri.

  • Logo baru ini hanya mengandungi perkataan halal dalam tulisan Arab-awi dan perkataan Malaysia dalam tulisan Rumi. Yang membezakan antara logo halal yang dikeluarkan hanya dapat dikenali berdasarkan kod nombor mengikut kod nombor kad pengenalan berdasarkan negeri yang diguna pakai di Malaysia.

  • Sebagai panduan kepada pengguna, logo baru yang keluarkan secara rasmi kepada premis pemohon ialah berwarna hitam pekat. Bagi memudahkan pihak pengeluar, mereka dibenarkan menggunakan warna lain mengikut produk dihasilkan asalkan tidak sedikitpun merubah speksifikasi logo asal.

  • Bagi produk yang dikilangkan di luar Malaysia untuk dipasarkan sama ada di negara ini atau di negara lain, pihak Jakim tidak lagi mengeluarkan sijil dan logo halal.

  • Begitupun, pihak syarikat boleh menggunakan sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh badan Islam di negara berkenaan yang diiktiraf oleh Jakim.

  • Terdapat beberapa kategori produk yang tidak layak membuat permohonan halal iaitu:

    Bahan asli atau semula jadi,

  • Ubat-ubatan

  • Jenama produk yang terkenal tidak halal

  • Makanan binatang

  • Pewarna rambut

    Sumber laman web rasmi Jakim: www.halal.gov.my

  • Carian Artikel
    Lain-lain artikel :



    VARIASI

    Ad-Din

    lagi
    it@Metro
    lagi
    lagi
    lagi
    lagi
    lagi


     
    MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
    Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
    © Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker