myMetro

Bentuk jiwa remaja

Teks oleh Samadi Ahmad
samadi@hmetro.com.my

KEJOHANAN Catur Remaja anjuran Jawatankuasa Kemajuan Belia (JKB), Kampung Telok Gong, Pelabuhan Kelang, Selangor, baru-baru ini membentuk jiwa dan sahsiah diri remaja yang cemerlang.

Program tahunan kali kedua itu mendapat sambutan baik apabila lebih 200 remaja menyertainya di dewan serba guna Kampung Hamid Tuah, Telok Gong.

Pertandingan itu disertai peserta berusia di antara enam hingga 18 tahun.

Pengerusi JKB, Malek Sayuti, berkata pihaknya melihat program itu banyak memberikan manfaat kepada remaja di samping mengeratkan hubungan melalui aktiviti sukan.

Malek berkata, aktiviti itu dapat mengasah minda remaja berfikir secara kritis selain membina keyakinan diri membuat keputusan sendiri.

Menurutnya, sukan adalah antara minat remaja menghabiskan masa terluang dan ia boleh dijadikan platform terbaik membentuk sahsiah diri.

“Biarpun dikatakan tidak membabitkan banyak tenaga seperti sukan lain, catur mempunyai kelebihan tersendiri untuk membentuk kreativiti peserta

“Jumlah peserta yang mengambil bahagian di luar jangkaan dan pihak jawatankuasa penganjur amat berpuas hati kerana misi penganjuran dicapai,” katanya.

Peserta, Nur Shazwani Zullkafli, 17, berkata program seperti itu perlu diperbanyakkan bagi membolehkan remaja menghabiskan masa terluang di hujung minggu.

“Catur bukan hanya sukan tetapi banyak membantu lebih kreatif dalam pelbagai aspek,” katanya.

Bagi Yeoh Li Yuan, 12, berkata pertandingan itu memberikan ruang kepada peminat sukan berkenaan mengembangkan bakat.

“Sukan ini jarang diadakan tetapi mempunyai ramai peminat daripada semua peringkat umur,” katanya.

Sementara itu, pemenang menerima hadiah di majlis penutup yang disempurnakan Penghulu Mukim Pulau Indah/ Telok Gong, Halil Selamat.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad