Bekas kekasih masih tagih cinta SAYA berusia 24 tahun dan baru putus cinta selepas hampir lima tahun menjadi pasangan kekasih. Sepanjang bercinta, kami tidak pernah bergaduh besar kerana sering bertolak ansur.
Teman lelaki juga penyayang dan mengambil berat, namun tanpa angin, tanpa ribut baru-baru ini dia memberitahu akan berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya. Katanya, dia terpaksa berkahwin dengan saudaranya untuk mengeratkan persaudaraan. Saya terkejut kerana sebelum ini kakak dan sepupunya tahu kami sudah lama menjalin hubungan. Saya tidak tahu apa harus dilakukan. Hanya air mata menjadi teman. Terasa sia-sia penantian saya selama ini untuk hidup bersamanya. Masalahnya, walaupun teman lelaki saya kini berkahwin, dia tetap menghubungi saya untuk bertanya khabar. Dia juga menyatakan tidak dapat melupakan saya dan sering fikirkan saya. Kata-katanya membuatkan saya rasa gembira kerana saya turut tidak dapat melupakannya. Namun, pada masa sama saya rasa berdosa kerana dia kini beristeri. Saya tidak mahu meruntuhkan rumah tangganya kerana isterinya juga perempuan seperti saya. Saya pernah menyatakan kesediaan menjadi isteri keduanya, namun dia tidak berani memberi kata putus. BAYA Biar apa juga sebab dan alasan, hakikatnya bekas kekasih saudari kini suami orang. Oleh itu saudari tidak boleh lagi menjalin hubungan dengannya, apatah lagi dia kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk menjadikan saudari isteri keduanya. Kita perlu rasional dalam hal ini. Tanpa jaminan saudari diambilnya menjadi isteri kedua, apakah matlamat atau hala tuju hubungan anda berdua? Perkara ini perlu saudari fikirkan. Adakah sekadar untuk suka-suka? Jika begitu, berbaloikah ia? Dang Setia percaya hubungan percintaan yang tidak bermatlamatkan perkahwinan sebenarnya sekadar sia-sia. Lebih buruk lagi, ia berisiko tinggi untuk terpesong ke arah kegiatan maksiat dan perzinaan yang mengundang kemurkaan Allah. Kita tidak boleh mengikut budaya masyarakat bukan Islam yang kuat berpegang kepada konsep bercinta tidak semestinya diakhiri dengan perkahwinan. Mereka boleh buat begitu kerana mereka seolah-olah menghalalkan seks tanpa perkahwinan. Oleh itu, saudari perlu mendidik diri supaya menerima hakikat mungkin ditakdirkan Allah jodoh saudari bukan dengan teman lelaki, biarpun hubungan anda berdua berlarutan lima tahun dan berjalan lancar. Dengan menerima hakikat itu, insya-Allah saudari akan memiliki kekuatan untuk memutuskan terus hubungan dengannya. Jika dia menelefon saudari dan menyatakan masih menyintai serta sukar melupakan saudari, anggaplah kata-kata itu sekadar bicara manis seorang kasanova untuk memerangkap mangsanya. Ingat, cinta bukan sekadar ungkapan kata-kata, tetapi yang lebih penting mengotakan apa yang dikatakan. |