DANG SETIA
JIKA anda berdepan pelbagai masalah, sama ada pelajaran, rakan sebaya, keluarga, alam percintaan atau menjalani kehidupan seharian, anda boleh mengemukakannya kepada kami. Insya-Allah Dang Setia akan berusaha meleraikan permasalahan itu.Hantarkan masalah kepada :
Dang Setia (Metro Ahad), 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili : 03-22848390
E-mel: dangsetia@hmetro.com.my
|
Si Tanggang moden
DANG Setia, makcik adalah ibu tunggal berusia 69 tahun dan ada masalah dengan anak yang ingin dikongsi bersama Dang Setia dan pembaca lain.
Makcik ada lima anak, tiga lelaki dan dua perempuan. Semuanya sudah berkeluarga.
Anak sulung tinggal bersama makcik dan dia bekerja tidak menentu. Masalah makcik ialah dengan anak kedua yang berjawatan besar dan bergaji lumayan, tetapi sikapnya mengecewakan makcik.
Dia tidak mahu menolong makcik dan adiknya. Dia sudah 18 tahun berkahwin dan tinggal dengan isterinya. Masalahnya, isterinya tidak mahu bertegur sapa dengan makcik, begitu juga anak makcik yang menjadi suaminya.
Anak mereka juga sombong. Kalau berjumpa makcik di jalan, mereka tidak mahu bertegur sapa. Sedih rasa hati makcik.
Anak kedua makcik kini ibarat Si Tanggang Moden. Dia tidak pernah kenang jasa makcik yang melahirkannya dan betapa susahnya makcik menjaganya ketika kecil.
Makcik bertambah kecewa apabila perangai buruk anak kedua makcik diikuti pula adiknya iaitu anak ketiga. Disebabkan pengaruh isterinya, anak ketiga makcik juga kini tidak bercakap dengan makcik.
Dia ada memberi makcik RM100 setiap bulan, tapi itu tidak mencukupi. Satu hari makcik minta padanya RM10 untuk beli baju baru kerana baju yang ada banyak yang ketat. Itupun dia marah.
Dang Setia, apakah salahnya makcik di hati mereka? Disebabkan dua anak menantu tidak sukakan makcik, kini makcik tidak pernah pergi ke rumah mereka. Sebenarnya rumah mereka bukan jauh sangat, selang beberapa rumah saja dari rumah makcik.
Kepada semua pembaca yang mengikuti ruangan ini, makcik minta mereka jangan menjadi Si Tanggang Moden seperti dua anak makcik yang derhaka kepada ibu sendiri.
Hati ibu mana yang tidak pilu, anak makcik yang kedua jika berjumpa makcik di tengah jalan pun akan memalingkan mukanya.
Sampai hati dia... muka makcik pun dia tak nak tengok. Inikah balasannya pada makcik? Sudahlah satu sen pun dia tak pernah bagi pada makcik. Kini sudah lapan bulan dia tidak bertegur sapa dan berjumpa makcik.
Untuk pengetahuan semua, anak keempat makcik perempuan. Suaminya sudah lapan tahun meninggal dunia. Sejak itu dia dan anaknya berusia lapan tahun menumpang tinggal di rumah anak sulung makcik bersama makcik. Anak makcik yang kelima bekerja di Sabah mengikut suaminya.
IBU KECEWA Butterworth, Pulau Pinang
Kebetulan hari ini sambutan Hari Ibu. Ketika ibu lain riang gembira dikelilingi anak menantu tersayang, puan pasti tidak mengecapi suasana itu.
Dang Setia cuma dapat membayangkan kekecewaan dan kesedihan yang puan hadapi kerana hakikatnya, puan dan Allah saja yang tahu.
Bak kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Oleh itu, jutaan simpati Dang Setia ucapkan kepada puan bersama iringan doa semoga puan tabah dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Pada masa sama, Dang Setia berharap puan dapat menerima ujian maha berat daripada Allah SWT ini dengan cara sebaik-baiknya supaya keimanan puan kepada Allah bertambah teguh dan mudah-mudahan martabat puan disisi-Nya bertambah tinggi.
Ini kerana kita perlu sedar betapa Allah tidak memberi kesukaran kepada kita melainkan ia satu ujian untuk mengukur sejauh mana keimanan kita terhadap-Nya dan jika kita mampu menghadapinya, semakin tinggi kedudukan kita di sisi-Nya.
Selain itu, Dang Setia berharap puan tidak sekadar melayan kekecewaan dan terus-terusan merintih nasib malang yang menimpa diri tanpa bertawakal iaitu berdoa dan berusaha supaya keadaan berubah menjadi lebih baik.
Untuk melaksanakan konsep tawakal itu, jangan putus harap dengan Allah untuk terus berdoa dan berusaha.
Mungkin puan bertanya, apa usaha yang boleh puan lakukan? Pada pandangan Dang Setia, satu pendekatan yang dikira wajar puan gunakan dalam usaha menasihati dan menyedarkan anak mengenai kesilapan mereka ialah mendapatkan khidmat pihak ketiga.
Dang Setia cadangkan puan menggunakan anak sulung puan atau adik beradik puan (jika ada) sebagai perantara untuk menasihatkan dua anak puan di atas kesalahan mereka atau dosa besar yang mereka lakukan selama ini.
Jika berasakan mereka tidak mampu melaksanakan tanggungjawab itu, puan mungkin boleh meminta pertolongan imam di surau atau masjid dalam kariah puan atau mungkin juga ketua kampung tempat puan tinggal.
Ini kerana, paling penting ialah dua anak puan itu perlu diberitahu mengenai kesalahan mereka. Mereka perlu disedarkan betapa mereka bakal menerima azab pedih daripada Allah dan tidak akan mencium bau syurga di akhirat jika tidak mengubah sikap serta memohon keampunan daripada puan.
Mereka juga perlu segera bertaubat dan meminta ampun daripada puan sebelum tiba detiknya Allah menjemput puan atau mereka berdua kembali kepada-Nya.
Bukan Dang Setia mendoakan kematian puan atau dua anak puan, namun mesej penting yang ingin Dang Setia sampaikan ialah, setiap anak perlu ada perasaan menghargai setiap detik sementara ibu kita masih ada bersama kita di dunia.
Apabila adanya perasaan itu, baru kita sentiasa memanfaatkan masa bersama ibu kita untuk menggembirakannya, melakukan yang terbaik untuknya dan sentiasa cuba memenuhi permintaannya.
Kepada semua pembaca, Dang Setia berharap masalah dipaparkan kali ini dijadikan iktibar untuk kita sama-sama menilai semula hubungan dengan ibu. Mungkin selama ini kita menyangka kita tiada kesalahan dengan ibu, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.
Akhir sekali, bersama-sama kita menyambut Hari Ibu pada hari ini, biarpun hakikatnya sambutan itu sekadar formaliti kerana kita sebenarnya perlu memuliakan ibu setiap hari.
Kepada ibu Dang Setia tercinta, Siti Noor Abdul Rahman, diucapkan selamat Hari Ibu dan luahan penuh rasa kesyukuran kerana dilahirkan sebagai anak wanita hebat sepertimu. Maaf kerana tidak dapat bersamamu meraikan Hari Ibu kali ini.
|
|