Jalan-Jalan: Air mata bercucuran menghadap Kaabah
Laporan dan foto KAMARUDIN MOHD SALLEH
nhk01012004@yahoo.com
HATI siapa tak melonjak menerima tawaran menunaikan umrah. Penulis menganggap tawaran itu rezeki dan juga hadiah daripada Yang Maha Esa. Sekejap tidak sabar menanti tarikh pemergian, sekejap resah kerana akan meninggalkan anak bersendirian.
Bagaimanapun, keinginan untuk turut menyertai rom bongan bersama Jemputan Umrah anjuran Astro Oasis (Saluran 106, Astro) itu lebih kuat.
Penulis menyertai rombongan pemenang peraduan Jem putan Umrah anjuran Astro Oasis, iaitu Mukhtar bin Mat Jusoh dan isteri, Azizah Daud.
Turut serta, empat kru CiptaAsia Motion yang bertang gungjawab membuat rakaman, diketuai Ketua Pegawai Ope rasinya, Fuad Dahlan bersama Rozisham Harun, Yusri Yusuf dan Hassanatul Jazli Ahmad Ramli.
Astro Oasis pula diwakili penerbit rancangan, Basiron Othman yang turut ditemani isteri, Lailiah Baharuddin dan ibu mentua, Fatimah Mansor.
Rancangan itu yang ditaja beberapa syarikat, termasuk Tabung Haji Travels (TH Travels), tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama Duta Besar Arab Saudi, Mohamed Reda Abu Al Hamayel dan Ketua Bahagian Pusat Media dan Pe nerangannya, Abdul Rahman Q Al Khudaidi.
Ketibaan kami pada 23 April lalu, jam 7 malam waktu Arab Saudi di Lapangan Terbang Jeddah disambut pegawai Ke menterian Penerangan Arab Saudi cawangan Makkah, Abdul Shakur Isa dan petugas TH Travel, Abdurrahman Assyami bersama-sama mutawwif, Ustaz Zaidi Mat Yassin, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Seperti dirancangkan, rombongan kami menziarah Ma dinah terlebih dulu dan perjalanan dari Jeddah ke bandar kedua suci Islam itu mengambil masa lima jam.
Umat Islam datang ke Madinah bukan kerana tuntutan agama, tetapi kerana rasa cinta dan hormat kepada Ra sululullah SAW, pesuruh Allah terakhir. Ini kerana, di bandar inilah Rasulullah SAW membentuk negara Islam pertama, menghabiskan tahun-tahun terakhir kehidupannya dan tem pat jenazah baginda bersama sebahagian besar sahabat di semadikan.
Madinah juga gedung iman kerana di sinilah iman dapat bertahan pada akhir zaman nanti. Di pintu masuknya ada pengawal yang membabitkan malaikat. Dajal dan penyakit taun tidak akan dapat memasukinya. Ia juga akan menjadi negara terakhir di dunia yang akan diruntuhkan menjelang hari kiamat.
Rasa sebak bercampur teruja melanda perasaan sebaik melihat menara Masjid Nabawi. Sebak kerana ini kali pertama penulis menjejakkan kaki ke masjid itu. Teruja kerana tidak sabar-sabar untuk menunaikan solat di dalamnya dan me ngucapkan salam kepada kekasih Allah.
Masjid Nabawi adalah masjid kedua dalam Islam dan ia mempunyai kelebihan serta kedudukan di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah (SAW), bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali ke tiga buah masjid, iaitu Masjidil Haram di Makkah, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.”
Baginda juga bersabda yang bermaksud: “Satu waktu sembahyang di masjidku adalah lebih baik daripada me ngerjakan sembahyang 1,000 kali di masjid lain, kecuali Masjidil Haram.”
Tiada perkataan boleh diluahkan untuk menggambarkan perasaan sebaik menjejakkan kaki ke dalam masjid. Terpaku seketika sebelum mula berjalan perlahan-lahan berjalan menuju ke barisan depan, mencari satu sudut di sebelah kiri masjid yang menurut ceramah yang kerap penulis dengar, kawasan yang menjadi rebutan untuk beribadat, iaitu al-Rau dah.
Inilah sudut yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu daripada taman syurga.
Memang benar al-Raudah menjadi rebutan. Tiada ruang lagi untuk duduk. Malah untuk berdiri juga tidak ada, walaupun waktu subuh masih jauh.
Impian untuk ada di al-Raudah tercapai ketika melakukan program ziarah pada pagi hari berkenaan. Masya-Allah! Tidak dapat penulis lakarkan perasaan ketika di situ. Tenang setenangnya, walaupun keadaan di situ sungguh sesak.
Begitu juga ketika ada di depan makam Rasulullah SAW. Beralih ke kanan sedikit, terletak pula makam Saidina Abu Bakar ra dan ke kanan lagi makam Saidina Umar ra.
Selain menziarah sekeliling masjid dan makam Rasulullah, kami mengunjungi tanah perkuburan Baqi’e, tempat per semadian semua isteri baginda, kecuali Siti Khadijah ra dan beribu-ribu sahabat.
Kami juga ke beberapa tempat bersejarah Jabal Uhud di mana terletaknya makam Saidina Hamzah ra dan syuhada lain yang gugur dalam peperangan Uhud. Rombongan juga dibawa melawat Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan beberapa tempat bersejarah lain.
Dua hari di Madinah memang tidak puas, namun kami perlu berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah pada pagi 26 April dan tiba sejurus sebelum Asar .
Sebaik ada di dalam Masjidil Haram, mutawwif meminta kami berdiri seketika, merenung Kaabah. Masya-Allah. Saya hampir jatuh melutut ketika itu. Tak dapat lagi nak menahan air mata. Terasa diri teramat kecil.
Umrah pertama yang dilakukan berjalan dengan lancar. Hari itu menjadi tambah bermakna bagi penulis kerana secara kebetulan berpeluang menunaikan solat Maghrib yang di imamkan Sheikh Abdul Rahman al-Sudais.
Sebelum ini penulis hanya mendengar bacaan surah suci daripadanya menerusi CD dan kaset, selain melihat beliau menerusi televisyen ketika mengimamkan solat Tarawih. Kelu lidah penulis untuk mengucapkan salam kepadanya.
Masjidil Haram ketika ini menjalani proses pembesaran dalam usaha memuatkan kira-kira 500,000 lagi jemaah, khususnya pada musim haji. Ia projek terbesar berkait dengan Masjidil Haram dan akan menyaksikan perubahan pada wajah masjid paling suci itu.
Kira-kira 1,400 bangunan di kawasan yang dikenali sebagai Shamiya dan Subaika sudah atau bakal diroboh dan kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kira-kira RM6 bilion untuk membayar pampasan kepada pemilik bangunan terbabit.
Projek baru itu meliputi kawasan bermula di Jalan Masjid Al-Haram dan Gazza di timur hingga ke Jalan Jabal Al-Ka’bah serta Tanah Perkuburan Shubaika di barat. Ia juga merentasi Jalan Abu Sufyan, Raquba, Jalan Abdullah ibn Zubair, Shamiya, Jabal Hindi, Jalan Khalid ibn Walid dan Shubaika hingga ke Jalan Jabal Ka’bah.
Terowong pejalan kaki menghubungkan kawasan utara dengan kaki lima baru masjid itu juga termasuk dalam projek berkenaan. Usaha meratakan Jabal Umar juga giat dijalankan. Apabila siap kelak, beberapa hotel lima bintang akan dibina di sepanjang jalan itu.
Kerja pembinaan menyebabkan kawasan di sekitar sentiasa berhabuk, lebih-lebih lagi ketika ini musim panas.
Sementara itu, rombongan kami sempat mengerjakan umrah beberapa kali selama ada di kota suci itu. Setiap masa yang terluang dihabiskan untuk beribadah, berzikir dan membaca al-Quran di dalam masjid.
Merenung Kaabah pula memberi satu ketenangan luar biasa kepada diri. Saya yakin perasaan ini juga dinikmati jemaah lain memandangkan ramai yang saya lihat duduk di anak tangga dan lantai menghadap Kaabah, yang selama ini menjadi kiblat mereka ketika bersembahyang.
Jika di Masjib Nabawi, sekali solat mendapat ganjaran seperti 1,000 kali solat, di Masjidil Haram pula, ganjarannya 100,000 kali. Bayangkan membuat ibadah dengan ganjaran 100,000 kali pahala.
Lebih menarik lagi, tidak pernah terbayang sebelum ini akan dapat mendirikan solat dengan begitu ramai manusia daripada pelbagai bangsa dan berasal dari pelbagai negara.
Masjidil Haram mempunyai 95 pintu dan setiap satu dikawal oleh pegawai dan anggota polis. Tugas mereka, memeriksa secara rambang jemaah yang memasukinya.
Kerana begitu besar, tidak hairan ada jemaah yang tersesat, lebih-lebih lagi pada musim haji.
Sepanjang di Kota Makkah, rombongan turut dibawa berkunjung ke pelbagai tempat bersejarah dalam kalendar Islam, termasuk Jabal Thur dan Gua Hira serta menziarah Padang Arafah, tempat pertemuan Adam dan Hawa selepas terpisah selama 40 tahun. Kami juga dibawa melawat Muzium Kaabah dan Kilang Kelambu Kaabah.
Kunjungan kami ke Makkah berakhir dengan mengerjakan Tawaf Wida’ sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Selepas seminggu diberi kesempatan menjadi tetamu Allah, tersemat doa dan harapan di hati setiap anggota rombongan semoga kedatangan ini bukan yang terakhir.
|
|