Makan-makan: Lauk kampung
Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my
LUARANNYA nampak biasa atau sama seperti restoran lain, namun ada satu tarikan yang membuatkan Restoran Kazara menjadi tumpuan ramai, terutama pada waktu makan tengah hari.
Jawapannya ialah puluhan menu yang ada, malah tidak keterlaluan dikatakan menjamah hidangan di sini bagaikan menikmatinya seperti di rumah dan yang pasti kepuasan jelas tergambar pada wajah pelanggan.
Bertempat di Phileo Damansara 1, Petaling Jaya, Selangor, restoran yang wujud sejak empat tahun lalu itu menawarkan pelbagai pilihan lauk-pauk kampung hasil sentuhan tukang masak berpengalaman.
Lebih menyelerakan lagi, pengusahanya menggunakan beras Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang diakui ada kualiti tersendiri, sekali gus menambah selera.
Ketika tugasan ini diadakan bersama penyanyi yang terkenal dengan irama dangdut, Haiza, 28, pelanggan tidak putus berkunjung, malah pada waktu kemuncak jam 1 tengah hari, mereka seperti memahami beratur panjang sama ada memilih atau membayar makanan.
Antara menu yang menjadi tarikan ialah asam pedas ikan pari, masak lemak ikan keli, ikan asam serai, sambal petai ikan bilis, pajeri nanas, kacang botol goreng cili dan pucuk manis bersama labu kuning.
Tidak ketinggalan ada juga talapia sambal hijau atau goreng sambal, bawal tiga rasa, kari ikan, ayam masak kicap, sambal paru, ayam goreng rempah, tempe serta ulam-ulaman.
Selain itu, ada pilihan mi rebus, mi jawa, laksa Sarawak, lontong, mi sup, nasi lemak, bihun dan mi goreng.
Pemilik restoran, Khairul Afiza Rusdi, 28, berkata menu makanan kampung yang disajikan itu antara faktor restorannya jadi pilihan ramai, apatah lagi cara masakannya sama seperti di rumah.
“Saya utamakan masakan kampung kerana lokasi di sini lebih banyak pejabat dan pasti mereka tercari-cari menu yang menepati cita rasa atau selera.
“Kerana itu, kami hanya beroperasi dari jam 6 pagi hingga 3 petang setiap hari, namun sambutan diterima sangat menggalakkan,” katanya.
Menurutnya, masakan bufet itu dimasak ibu saudaranya, Zaiton Dewa, 55, yang berpengalaman 10 tahun dalam bidang masakan di pelbagai restoran dan kedai makan.
“Saya akui makcik ada kelebihan dalam memasak dan kerana itu saya pilih dia untuk memasak di sini,” katanya yang menggunakan nama isteri di restoran berkenaan.
Diajukan soalan kepada Zaiton mengenai ‘rahsia’ masakannya yang menyelerakan, wanita berasal dari Alor Gajah, Melaka itu berkata, cara dia memasak sama seperti di rumah.
“Tidak lebih atau kurang bahan yang digunakan kerana saya mahu pelanggan puas selepas menikmati makanan di sini,” katanya.
Keadaan itu diakui Haiza yang berselera melihat pelbagai jenis masakan di depan mata.
Menurut penyanyi berasal dari Benut, Pontian, Johor itu, makanan yang ada memenuhi seleranya yang menyukai masakan pedas.
“Saya menggemari paru goreng berlada, asam pedas dan nasi ayam. Makanan di sini memang lazat dan banyak pilihan. Malah, penggunaan beras keluaran Bernas menambah selera kerana saya pengguna setia beras Bernas dari zaman bujang sehingga sudah berkahwin,” kata isteri Norhanafpe Omar, 28, itu yang diijabkabulkan 24 Ogos tahun lalu.
Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Dag Dig Dug itu, dia selalu menyertai program anjuran Bernas dan terbaru 3 Mei lalu di Terengganu dalam program Fiesta Discovery Bernas.
Mengenai karier seninya, Haiza yang setakat ini memiliki lapan album berkata, dia dalam proses mengumpul bahan untuk album mini, selain mengadakan perbincangan dengan sebuah pusat kecantikan yang berminat melamarnya sebagai duta mereka.
“Jika tiada aral melintang, saya akan menjadi duta syarikat itu yang menyediakan perkhidmatan kecantikan dari hujung rambut sampai hujung kaki, selain melatih bakal usahawan.
“Di samping itu, saya turut menerima undangan persembahan dan 11 Mei ini misalnya membuat persembahan sempena Hari Ibu di sebuah hotel di Subang Jaya,” katanya.
WAKTU OPERASI: 514, 6 pagi hingga 3 petang setiap hari (Ahad ditutup)
ALAMAT: 514, Tingkat bawah, Blok E, Phileo Damansara 1, Petaling Jaya, Selangor
|
|