Jalan-jalan: Indah bagai lukisan
Laporan dan foto HARTATI HASSAN BASRI
hartati@hmetro.com.my
BENAR bagai dikata, ‘jauh berjalan luas pandangan’ apabila penulis berpeluang berkunjung ke Flinders Ranges dan Outback di Australia Selatan ketika membuat liputan peng gambaran My Aussie Adventure di Adelaide, Australia, baru-baru ini.
Perjalanan sejauh 476 kilometer dan mengambil masa kira-kira tujuh jam itu sememangnya istimewa kerana kaya dengan keindahan alam semula jadinya.
Kiri kanan jalan, saujana mata memandang dengan ladang dan padang ragut biri-biri. Tambah indah apabila jauh di belakangnya dibarisi bukit, bagaikan lukisan indah yang tiada penghujung.
Flinders Ranges dan Outback yang menjadi kawasan paling besar di Australia Selatan dan mempunyai persekitaran unik, kaya dengan tinggalan sejarah dan budaya kaum pribumi (Aboriginal).
Dengan dibarisi tiga banjaran gunung berusia 600 juta tahun lalu, tempat ini mempunyai bentuk muka bumi unik dan indah dengan struktur geologi, topografi, flora dan fauna serta persekitaran berbeza dan memberi pengalaman indah.
Namun untuk sampai ke sana juga menuntut cabaran apabila van dipandu pemandu pelancong dari South Australia Tourism, Bob Latimer, melanggar kanggaru, menyebabkan kami tiba di Hotel Prairie, Parachilna, jam 10 malam.
Hotel tua yang mula dibina pada 1876 ini begitu terpencil di tengah kawasan lapang dan hanya mempunyai 12 bilik. Ia diusahakan pasangan suami isteri, Jane dan Ross Fargher dan popular di kalangan pelancong kerana keunikan biliknya yang dibina satu meter di bawah tanah untuk mengawal suhu terlalu sejuk pada musim dingin.
Malah, hotel ini beberapa kali mendapat penghargaan pelancongan Australia kerana layanan dan keistimewaan biliknya. Jane juga melayan tetamu dengan resipi istimewanya untuk sarapan pagi dan makan malam.
Jangan terkejut kalau hotel yang memiliki pub ini mampu terus beroperasi, walaupun terletak di tengah-tengah kawasan lapang yang mempunyai populasi penduduk hanya tujuh orang.
Ross juga membawa kami menyaksikan pemandangan indah matahari terbit. Jane bermurah hati menaja pakaian koboi daripada koleksi RM Williams untuk pengacaranya, Daphne Iking dan Nazrudin Habibur Rahman atau Naz serta pengacara bersama, Effasyafiza Mohd Desa yang juga Am bassador Australia Selatan untuk program yang ditaja Tou rism Australia.
Penerokaan keindahan alam di Flinders Ranges dan Ou tback diteruskan dengan kunjungan ke Flinders Ranges National Park menaiki pacuan empat roda yang dipandu Richard Wickens.
Selama setengah hari dihabiskan di sini merakam ke indahan dan keunikan hutan yang dilindungi bersama peng huninya seperti kanggaru, wallabi dan elmo.
Kami singgah di beberapa tempat menarik seperti Wil kawillina yang mempunyai batu fosil yang terhasil lebih 500 juta tahun lalu. Sebaik saja Richard menyiram permukaan batu dengan air, terserlah corak unik bagaikan lukisan abstrak.
Pada sebelah petang, kami tiba di tempat penginapan di Wilpena Pound Resort. Keesokan pagi, kami berpeluang melihat pemandangan Wilpena Pound dari udara.
Selain pakej pengembaraan dengan kenderaan pacuan empat roda, mereka menyediakan pakej pesawat kecil. Per jalanan selama setengah jam itu tambah menarik ditemani juruterbang kacak iras Putera William, Darren Crab, 21.
Selepas dua hari pengembaraan di kawasan pedalaman, rombongan My Aussie Adventure kembali ke Adelaide. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Quorn untuk menunggang unta di Pichi Richi Camel Tours.
Kami tiba di Adelaide kira-kira jam 7 malam dan singgah makan malam di Restoran Mekong Thai yang diusahakan orang Malaysia, Siti Hairiah Abdul Hamid dari Melaka yang berkahwin dengan warga New Zealand.
Kerinduan masakan Malaysia terubat apabila dihidangkan ikan masak masam manis, tomyam, kari ayam dan sayur campur. Adelaide yang mempunyai penduduk 1.2 juta, adalah bandar keempat terbesar di Australia.
Mungkin Adelaide tidak sepopular destinasi lain di negara kanggaru itu seperti Sydney, Melbourne atau Gold Coast, tapi ia tetap punya tarikan tersendiri.
Ketibaan saya dan Effa di Lapangan Terbang Adelaide dengan Penerbangan Malaysia kira-kira jam 6 pagi pada 17 Mei, disambut hujan lebat. Difahamkan, lebih setahun Adel aide tidak disirami air hujan hingga mereka menghadapi masalah bekalan air.
Kami dibawa ke Mantra Hindmarsh Square, kira-kira lapan kilometer dari lapangan terbang untuk berehat sementara menanti kru My Aussie Adventure dari Tasmania.
Kru My Aussie Adventure yang membabikan Pengarah Kreatif Pepper Media Sdn Bhd, Shahrul Nizam Nurdin; Zulkifli Zainul (juru kamera); Mohd Sukri Che Mat (juru audio); Muhammed Izzat Hasan (Pembantu juru kamera); Pegawai Perhubungan Awam Tourism Australia, Amanda Chong serta Daphne dan Naz meneruskan penggambaran di lokasi keempat, selepas Australia Barat (Perth), Victoria (Melbourne) dan Tasmania (Hobart).
Apabila berbual dengan Bob, katanya, penduduk Islam di Adelaide tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan daging halal kerana ada pusat penyembelihan ayam dan lembu halal.
Bob memahami dan menghormati orang Islam. Difa hamkan, ada empat masjid di Adelaide untuk orang Islam beribadah dan juga menjalankan aktiviti agama.
Penggambaran lain selama dua hari di Adelaide ialah ke McLaren Vale yang terletak antara Mount Lofty Ranges dan pantai Gulf St Vincent yang terkenal sebagai pusat tanaman anggur.
Kawasan ini juga terkenal dengan hasil almond. Ada satu kedai menjual almond, The Almond & Olive Train. Yang menariknya, ia adalah gerabak kereta api lama dan menjual pelbagai produk berasaskan almond.
Tidak ketinggalan Medlow Confectionery & FruChocs Showroom yang menghasilkan pelbagai cokelat. Sambil me nikmati cokelat dihasilkan, pelawat berpeluang melihat co kelat dihasilkan.
Di McLaren Vale juga, kami dibawa ke Red Poles Gallery untuk kelas melukis dengan bimbingan guru lukisan di sini, Ros Miller.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Victor Harbor, kira-kira 85 kilometer dari Adelaide. Ia menjadi pusat persinggahan ikan paus ketika musim dingin, manakala Granite Island menjadi persinggahan penguin.
Untuk sampai ke Granite Island, kami menaiki tram yang ditarik kuda besar jenis Clydesdale sejauh satu kilometer.
Di pulau ini, anda dapat menikmati pemandangan indah dan mereka yang bertuah berpeluang melihat kemunculan penguin atau pun anjing laut pada musim dingin.
Di sini juga ditempatkan Granite Island Nature Park yang menjadi pusat penyelidikan penguin. Selepas empat hari di Adelaide, kru My Aussie Adventure meneruskan peng gambaran ke New South Wales (Sydney).
|
|