Karisma: Sohella pakar alat ganti
Oleh RUDY FAZRUNISYAM SAMARUDIN
rudy@hmetro.com.my
MINAT yang ditanam sejak kecil terhadap kereta menjadi titik tolak pembabitannya dalam perniagaan menjual alat ganti kenderaan, walaupun menyedari bidang itu biasanya dimonopoli lelaki.
Tanpa membiarkan perbezaan jantina dijadikan alasan untuk mengejar apa yang ingin dicapainya dalam bidang diceburi, Sohella Mahmood, 35, terus gigih melangkah, sekali gus meletakkan dirinya setanding dengan kaum Adam.
Buktinya, pada 1 Disember 2006 dengan tertubuhnya syarikat Daya Mas Maju Sdn Bhd, Sohella atau lebih dikenali dengan panggilan Ella muncul wanita Bumiputera tunggal membuka perniagaan menjual alat ganti kenderaan di Muar, Johor.
Namun apa yang diraih Sohella kini tidak terjadi dalam tempoh singkat. Dia mengambil masa 10 tahun untuk mencari pengalaman dalam bidang alat ganti kenderaan sehingga dia kini layak bergelar pakar alat ganti kenderaan di kalangan pelanggannya.
Anak kelahiran Kampung Melayu, Kluang, Johor itu ber mula dengan bekerja di kedai menjual alat ganti kenderaan di Batu Pahat sebaik tamat tingkatan lima kerana dia sedar kejayaan dalam apa jua bidang banyak bergantung kepada pengalaman.
“Tidak seperti rakan lain yang mencari kerja dalam bidang yang sinonim dengan wanita, saya memilih untuk memohon kerja di kedai menjual alat ganti kenderaan.
“Saya bermula dari bawah dengan membantu mengira dan menyusun stok alat ganti, dan dari situ saya berpeluang mengenali pelbagai jenis alat ganti kenderaan, bermula daripada paling asas seperti jenis minyak mengikut gred hingga kepada bahagian paling rumit,” katanya.
Pendedahan dalam bidang automotif yang ditimba selama bekerja di kedai alat ganti itu menyebabkan Sohella mula yakin dengan kebolehannya dan menanam impian memiliki kedai alat ganti sendiri.
Jalan untuk Sohella membuka perniagaan alat ganti ken deraan semakin terbuka apabila dia berkahwin dengan sua minya, Mohd Firdaus Abdullah, 38, yang mempunyai per niagaan peralatan tangki air kenderaan.
Berbekalkan duit simpanan bersama suaminya, Sohella akhirnya membuat keputusan nekad membuka kedai alat ganti dengan modal permulaan RM300,000 di 1-14, Jalan Kesang, Tanjung Agas, Muar.
Dari saat itu, bermulalah pembabitan ibu tiga anak itu dalam bidang perniagaan yang semestinya menjanjikan sepak terajang yang memerlukan kecekalan dan kebijaksaan untuk terus kekal dalam persaingan.
Sohella mengakui, pada fasa pertama perniagaannya dia terpaksa menempuhi pelbagai cabaran dan kesulitan, te rutama dalam meletakkan syarikatnya di arena persaingan yang banyak dikuasai lelaki dan bukan Bumiputera.
“Cabaran utama semestinya berdepan persaingan syarikat penjual alat ganti lain yang bertapak sejak berpuluh tahun lalu berbanding syarikat saya yang baru mula bertatih.
“Pada mulanya ramai kurang yakin kerana saya wanita, pelanggan sangsi sama ada saya tahu hal berkaitan kenderaan dan jenis alat ganti, mereka was was terhadap kemampuan saya,” katanya.
Sohella mengakui, keadaan yang berpunca daripada tang gapan masyarakat itu yang paling sukar dan sedikit sebanyak menyebabkan beliau termenung memikirkan langkah paling tepat untuk meneruskan kelangsungan hidup perniagaan.
“Dari mula lagi saya menjangka cabaran seperti ini, sebab itu saya tidak mahu terus meletakkan kedudukan saya terus tersepit kerana tanggapan masyarakat kita.
“Saya tahu saya perlu terus melangkah dan dengan meng gunakan pengalaman, termasuk hubungan baik dengan pe ngedar alat ganti, akhirnya semua cabaran itu dapat diatasi.
“Kini saya boleh menarik nafas lega kerana mempunyai pelanggan tetap, termasuk bengkel jabatan kerajaan, syarikat swasta dan bengkel individu,” katanya.
Kini, perniagaannya yang dibantu lima kakitangan mula meniti di mulut pelanggan kerana kemampuan memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus menjadi promosi paling berkesan bagi syarikatnya.
Selain pengedar alat ganti kenderaan, Sohella memiliki bengkel membaiki kenderaan yang terletak di Jalan Bakri yang diuruskan oleh suaminya.
PROFIL
NAMA: Sohella Mahmood
UMUR: 35 tahun
ASAL: Kampung Melayu, Kluang, Johor
JAWATAN: Pengarah Urusan Daya Mas Maju Sdn Bhd.
SUAMI: Mohd Firdaus Abdullah
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
|
|