Kriminal: Makan mayat
Susunan FUAD HADINATA YAACOB
BAYANGKAN situasi ini — keluarga anda menerima bungkusan mengandungi serpihan tulang yang dibakar dan digaul bersama tepung, disertai beberapa batang gigi, gambar pakaian dan sekeping poskad yang ada tulisan menyayat hati.
Lebih memilukan, ‘barangan’ dalam bungkusan itu dikenal pasti milik seorang ahli keluarga yang dibunuh tetapi tidak diketahui di mana mayat dan apa sebenarnya berlaku.
Itu yang dialami keluarga Mari Konno, kanak-kanak malang berusia empat tahun yang menjadi mangsa pembunuhan kejam seorang lelaki, Tsutomu Miyazaki di Jepun.
Mayat Mari bukan saja diliwat sebelum dibunuh tetapi turut dikerat dan daging mangsa dilapah, dimasak dan dijamah seperti hidangan lain.
Selepas selesai ‘tugasan’, anggota badan mangsa dikirim kepada keluarganya. Dalam kes pembunuhan Mari, selain gigi, serpihan tulang dan foto, poskad yang dihantar tertulis perkataan, “Mari: Bakar Mayat; Tulang; Siasat; Buktikan.”
Kekejaman Miyazaki berlaku dalam tempoh dua tahun bermula 1988 hingga 1989 dengan jumlah mangsa seramai empat orang.
Meskipun tidak ramai, jenayah dilakukan Miyazaki mengejutkan rakyat Jepun, malah mereka tidak dapat menerimanya. Berikutan itu, lelaki kelahiran Ome, Tokyo, berkenaan diberi pelbagai gelaran seperti ‘The Little Girl Murderer’, ‘Dracula’ dan ‘The Otaku Murderer’.
Selain Mari, tiga lagi kanak-kanak malang maut di tangan lelaki itu iaitu Masami Yoshizawa, 7 tahun; Erika Nanba, 4, dan Ayako Nomoto, 5.
Dalam kejadian yang menimpa Erika, Miyazaki menghantar sekeping poskad kepada keluarganya dengan menggunakan perkataan yang diambil daripada keratan majalah iaitu “Erika : Sejuk; Batuk; Kerongkong; Rehat; Maut.”
Begitupun, tiada siapa faham maksud sebenar perkataan yang ditulis lelaki berkenaan.
Selepas membunuh mangsa, mayatnya ditanam berdekatan kawasan rumahnya di Saitama, Tokyo. Ada laporan menyatakan, selepas membunuh, mayat mangsa diliwat, malah dia menjadikan darah mereka seperti minuman.
Miyazaki juga didakwa memakan tangan mangsa dan tidur di sebelah mayat mereka seperti tiada apa berlaku.
Miyazaki memilih mangsa secara rambang, terutama kanak-kanak yang ditemui berseorangan serta mudah dipujuk. Selepas itu, dia membawa bakal mangsa ke rumahnya untuk operasi seterusnya.
Begitupun, seperti kata pepatah, ‘sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah juga akhirnya’, itu yang dialami Miyazaki apabila satu hari dia terperangkap, sekali gus ditangkap.
Dalam kejadian pada 23 Julai 1989 itu, Miyazaki menjadikan seorang murid sekolah sebagai sasaran seterusnya. Ketika itu, dia berusaha memasukkan lensa kamera ke faraj kanak-kanak terbabit di satu taman berdekatan rumahnya.
Begitupun, bapa murid perempuan terbabit ternampak perbuatan Miyazaki lalu mengejar dan menangkapnya. Polis yang menyiasat kes itu menyiasat kediaman Miyazaki dan terkejut apabila menemui 5,763 koleksi atau pita video aksi seks, kebanyakannya aksi ganas.
Di antara pita video itu terselit rakaman aksi seksnya bersama kanak-kanak terbabit yang juga mangsanya. Polis juga menemui tangan dan kaki mangsa yang dipotong di dalam almari pakaian.
Penemuan itu mengejutkan masyarakat Jepun, terutama yang mengenalinya. Sebenarnya Miyazaki pelajar cemerlang di dua bekas sekolahnya, Itsukaichi Elementary School dan Meidai Nakano High School.
Meskipun gagal memasuki Meiji University kerana kecundang dalam peperiksaan, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej swasta dalam jurusan Bahasa Inggeris dan Fotografi.
Ketika itu, Miyazaki terbabit menghasilkan rakaman video seks. Kegiatan itu disedari keluarganya dan disebabkan itu dia menjauhkan diri daripada mereka.
Sepanjang perbicaraan bermula 30 Mac 1990, lelaki itu tidak menunjukkan rasa bersalah atau simpati ke atas keluarga mangsa.
Malah, dia menyalahkan ‘lelaki tikus’ iaitu kartun yang dilukisnya sebagai punca atau penyebab jenayah.
Dengan rasa bongkak, Miyazaki memberitahu, perbuatan membunuh adalah kerja ‘baik’ dan tiada sebab dia perlu meminta maaf, terutama kepada keluarga mangsa.
Bapa Miyazaki yang tidak dapat menerima perbuatan anaknya, membunuh diri dengan terjun ke sungai pada 1994.
Sementara itu, pakar psikologi, Hirokazu Kasegawa, berkata dalam pertemuan dengan Miyazaki pada 2006, lelaki itu membuat pengakuan dia mendapat ‘arahan’ daripada datuknya untuk melakukan jenayah selepas tiga bulan datuknya meninggal dunia.
Katanya, Miyazaki mahu menunjukkan dirinya hebat dan akan menjadi lelaki terkenal satu hari nanti.
“Dia berkata kepada saya, ‘Beritahu dunia bahawa saya lelaki sejati dan bakal dikenali’,” katanya.
Pada 1997, Tokyo District Court menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah membunuh empat kanak-kanak terbabit. Pada 2006, Japan’s Supreme Court mengekalkan keputusan itu.
Pada 17 Jun lalu, keputusan rayuan Miyazaki ditolak, sekali gus keputusan mati itu kekal. Selain Miyazaki, dua lelaki lain turut dikenakan hukuman sama iaitu Shinji Mutsuda, 45, yang terbabit dalam jenayah rompakan dan membunuh serta Yoshio Yamasaki, 73, atas dakwaan membunuh dua orang untuk memperoleh wang insurans.
Info
NAMA: Tsutomu Miyazaki
USIA: 46 tahun (tahun ini)
LAHIR : 21 Ogos 1962 di Ome, Tokyo, Jepun
JENAYAH: Dalam kejadian bermula 1988 hingga 1989, Miyazaki didakwa membunuh empat kanak-kanak perempuan berusia empat hingga tujuh tahun dengan mengerat, meminum darah dan memakan daging mereka
MANGSA: Mari Konno (4 tahun), Masami Yoshizawa (7), Erika Nanba (4) dan Ayako Nomoto (5)
HUKUMAN: Mahkamah memutuskan Miyazaki bersalah, sekali gus melaksanakan hukuman mati pada 17 Jun 2008
|
|