Empat tarikan OlimpikSETIAP detik berlalu di Beijing seakan-akan hanya terarah kepada tarikh 8-8-08 (8 Ogos 2008) sempena pembukaan rasmi temasya sukan terbesar di dunia, Sukan Olimpik edisi ke-29.
Pada masa sama, Beijing bertungkus-lumus menyiapkan dirinya untuk menerima jutaan tetamu sempena sukan berkenaan. Bagi memastikan temasya itu meninggalkan kesan besar dalam minda pelbagai pihak, proses pembinaan mercu tanda utama Beijing giat dijalankan. Dengan persekitaran dihiasi pelbagai bangunan bercorak tradisional, empat binaan baru bakal menonjol menjelang pembukaan sukan berkenaan. Apakah gelaran untuk bangunan berbentuk seperti bakul dibina daripada tiang besi sepanjang 36 kilometer? Secara rasmi, ia adalah Stadium Nasional Beijing, tetapi di kalangan orang ramai, ia digelar ‘Sarang Burung’. Tujuh lapisan tempat duduknya boleh memuatkan sehingga 91,000 penonton bagi menyaksikan majlis pembukaan, penutup serta acara padang dan balapan Olimpik 2008. Ia dihasilkan daripada gabungan idea arkitek Switzerland, Jacques Herzog dan Pierre de Meuron bersama pelukis China, Ai Weiwei. Mereka melihat kepada sarang burung — simbol keharmonian alam semula jadi dalam budaya China — untuk mendapat ilham mereka bentuk stadium ini. Di antara tiang besi itu dipasang plastik khas, dinamakan ETFE (Ethylene tetrafluoroethylene) nipis bagi menjadikan ia binaan mesra alam pintar. Walaupun dikategorikan sebagai plastik, ETFE mempunyai kekuatan tinggi bagi menghadapi sebarang perubahan cuaca. Walaupun kos menyiapkan Sarang Burung hampir RM1.8 bilion, warga Beijing menganggapnya sebagai mercu tanda terhebat bandar raya itu dalam undian Beijing News, baru-baru ini. Memasuki Pusat Seni Persembahan Kebangsaan, pengunjung bagaikan ‘menyelam’ untuk menyaksikan sebarang pertunjukan di situ. Dilengkapi tiga panggung, pusat ini dikelilingi 35,500 meter padu air. Untuk masuk ke perut bangunan ini, seseorang perlu melalui terowong sejauh 80 meter dibina di bawah ‘tasik’ yang seolah-olah menampung struktur Telur itu. Ia juga menyediakan lobi teater terbesar di dunia, selain panggung operasi memuatkan 2,079 tempat duduk, dewan konsert 1,859 tempat duduk dan ruang teater bagi 957 tempat duduk. Ia memakan masa selama enam tahun untuk disiapkan. Berukuran 212 meter panjang dan 144 meter lebar, Pusat Seni Persembahan Kebangsaan ‘dibaluti’ titanium dan kaca ini benar-benar menonjol di tengah bangunan tradisional Beijing, termasuk Parlimen dan Bandar Larangan (Forbidden City). Arkitek Perancis, Paul Andreu, mempertahankan reka bentuk ciptaannya. “Kami berusaha menghasilkan bangunan yang menghormati persekitarannya dengan setiap satu menggambarkan sejarah seni bina China sambil memaparkan kepentingan seni bina moden semasa,” katanya. Timbalan Ketua Pusat Seni Persembahan Kebangsaan, Wang Zhengming, mengakui bangunan itu menimbulkan kontroversi. “Tetapi ia adalah mercu tanda baru dan lambang kebudayaan Beijing,” katanya. Beberapa jam sebelum subuh 8 Disember tahun lalu, sekumpulan pekerja bertungkus-lumus menyiapkan tugasan dalam cuaca dingin 234 meter di udara. Matlamat mereka — meletakkan kepingan struktur rangka terakhir bangunan Ibu Pejabat Stesen Televisyen CCTV. Bangunan dengan reka bentuk luar biasa itu mesti dilengkapkan dalam cuaca paling dingin pada 2007 bagi memastikan semua strukturnya bersuhu sama. Dua bangunan masing-masing condong enam darjah di antara satu sama lain itu empat kali lebih tinggi daripada Menara Pisa di Itali. Semua kepingan mesti dipastikan dipasang kukuh kerana China terletak di zon seismik dan terdedah kepada risiko gempa bumi. Pelbagai gelaran diberi untuk bangunan 54 tingkat itu. Di kalangan orang awam, ia dinamakan donat senget. Pereka bentuk bangunan itu, Ole Scheeren, dari Jerman berkata, ia adalah binaan ‘tiub bergelung geometri di angkasa’. Secara rasmi, kompleks tiga bangunan itu menempatkan stesen televisyen terbesar China, CCTV. Ia adalah bangunan pejabat kedua terbesar di dunia selepas Pentagon di Amerika Syarikat. Dibina dalam kawasan seluas 10 hektar, bangunan itu pula menyediakan ruang seluas 550,000 meter persegi bagi kegunaan pejabat berita, studio penyiaran dan kemudahan produksi. Di bahagian mengunjur bangunan, lantainya diperbuat daripada kaca membolehkan seseorang yang berjalan melihat pemandangan 160 meter di bawah. Mereka juga dapat menikmati pemandangan Forbidden City dan Taman Olimpik tidak jauh dari situ. Di sebelah Ibu Pejabat CCTV itu adalah Pusat Kebudayaan setinggi 38 tingkat menempatkan hotel lima bintang, pusat lawatan, restoran, bilik persidangan, ruang pameran dan pawagam. Setiap malam, sistem pencahayaan khas menerangi luar dan dalam Pusat Akuatik Kebangsaan Beijing sehingga menjadikannya seperti kiub buih raksasa. Dengan pancaran sinaran cahaya itu, kiub berkenaan seolah-olah aliran air laut sebenar. Ia menempatkan pusat sukan air pada Olimpik nanti. Layar yang membalut struktur kiub itu juga diperbuat daripada plastik EFTE. Bumbung dan dindingnya diperbuat daripada 4,000 polimer tahan kedut nipis. Walaupun begitu, ia mempunyai daya tahan yang menakjubkan — lebih teguh daripada besi atau konkrit. Keadaannya itu juga memudahkan bangunan itu ‘membersihkan’ diri sendiri daripada kotoran habuk dari Padang Pasir Gobi yang terletak berhampirannya. Kotoran dan debu itu akan tanggal dengan sendirinya jika disirami hujan atau pancutan manual. Pusat Akuatik Kebangsaan Beijing ini juga mengamalkan konsep kesan rumah hijau kerana 90 peratus daripada haba matahari yang terkena pada binaannya diperangkap di dalam untuk mengekalkan suhu hangat di kolam renang. Jika musim panas pula, 17,000 penonton di dalamnya masih boleh menikmati suasana selesa dengan suhu nyaman. Kos pembinaannya menelan belanja RM455 juta. |