Mat Laga: Buruk ibu sendiri
TAK faham betul Mat Laga dengan sikap sebilangan anak yang sanggup memburukkan ibu sendiri dan dakwa ibu tak bertanggungjawab. Kalau ya pun ibu buat silap, maafkanlah.
Ibu mana sanggup lihat anaknya menderita kerana tindakan anak yang kurang bijak.
Rasanya ada tak ibu yang tak pernah marah anaknya. Bayangkan, anak buat kerja tak senonoh di depan mata pun, takkan sengih aje?
Boleh tak macam itu? Mestilah tegur dan marah kalau anak berperangai liar. Habis tu kalau ibu sendiri tak boleh tegur, siapa yang boleh tegur?
Kalaulah individu berkaitan tahu betapa mulia dan tingginya martabat insan bergelar ibu, tentu dia tak tergamak buat begitu pada ibu.
Mat Laga lihat sekarang ini ramai remaja tak tahu menghormati ibu. Ada kes remaja sanggup pukul ibu sebab tak dapat penuhi kemahuannya, malah bercakap dengan nada kurang ajar dengan ibu, setakat mengherdik atau memaki hamun ibu tu dia tak rasa apa.
Takut betul Mat Laga dengar perkembangan kini. Tak rasa berdosa ke buat begitu? Kena marah sikit, mulalah lari dari rumah.
Tak ambil iktibar langsung dengan banyak kes yang dilaporkan sebelum ini. Nak jadi Tanggang versi perempuan agaknya.
Konon lari rumah sebab nak cari ketenangan jiwa, alih-alih makin serabut kepala sebab terpedaya dengan lelaki jahat.
Kalau tak pandai hormat ibu bapa, jangan terkejut kalau esok lusa bila dia ada anak, individu itu akan terima pembalasan serupa.
Dulu aniaya ibu, lepas tu anak pula yang lakukan seperti apa yang awak lakukan pada ibu dulu. Haa... rasa kau.
MAT LAGA: Kasih ibu membawa ke syurga.
|
|