Fourniret pemburu dara
Susunan FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my
DIA digelar “pemburu dara.” Ini kerana, lelaki bernama Michel Fourniret, 66, berasal dari Sedan, Perancis, hanya mensasarkan wanita muda berusia belasan tahun sebagai pemuas nafsunya.
Selain itu, dia diberi gelaran sedemikian kerana mempunyai nafsu pelik dan hanya berminat mencari remaja, khususnya yang dipercayai masih ada dara. Ada laporan menyatakan gelaran itu diberi kerana dia ketagih anak dara.
Percaya atau tidak, nafsu gila lelaki itu bermula ketika usianya 52 tahun dan ia berlanjutan sehingga sembilan tahun atau ketika usianya 59 tahun yang boleh dikategorikan sebagai warga emas.
Jika tidak ditangkap, mungkin jenayah gila Fourniret berterusan, malah ramai menjadi mangsanya. Dalam tempoh itu sekurang-kurangnya tujuh gadis, terutama pelajar, menjadi mangsa nafsu buasnya.
Lelaki itu turut didakwa membunuh seorang lelaki dalam satu rompakan yang dilakukannya untuk mendapatkan wang, namun tiada bukti mengaitkannya.
Selepas berjaya memperdaya mangsanya sehingga terkulai layu kerana dirogol, Fourniret bertindak ganas dan kejam tanpa sedikitpun wujud rasa simpati.
Meskipun ‘hajatnya’ dipuaskan, nasib mangsanya hanya setakat itu apabila dia tergamak mencekik, menembak atau membunuh dengan pelbagai cara, termasuk menggunakan pemutar skru ke atas mangsa yang masih kecil.
Selain itu, lebih kejam lagi Fourniret dilaporkan membakar dua mayat mangsanya selain menanam mayat mereka di lokasi yang tidak diketahui.
Lebih mengejutkan, lelaki itu tidak melakukan kerja berkenaan berseorangan, sebaliknya mendapat sokongan isterinya, Monique Olivier, 59, yang berusaha sedaya upaya mencari jalan untuk memuaskan nafsu pelik suaminya.
Tugas Monique ialah mencari mangsa, menculiknya dan membawa kepada Fourniret yang sedia menunggu seperti seekor harimau yang sangat lapar.
Mangsa pertama, Isabelle Laville, berusia 17 tahun, dilaporkan hilang di Auxerre, Perancis pada 11 Disember 1987 ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.
Kehilangannya menimbulkan persoalan kepada keluarga dan pihak berkuasa kerana tiada panggilan atau ugutan diterima. Selama 19 tahun berita mengenainya tidak diketahui sehingga rangka gadis berasal dari Perancis itu ditemui dalam sebuah perigi pada Julai 2006 di Auxerre, Perancis - itupun selepas Fourniret memberitahu lokasinya.
Mangsa paling muda dilaporkan berusia 12 tahun dari Belgium. Elisabeth Brichet hilang ketika bermain bersama rakan di satu taman permainan di Namur, Perancis pada 1989.
Seperti Isabelle, kehilangannya juga tidak diketahui hinggalah Fourniret menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak itu dibakar iaitu di satu kawasan estet.
Selain Isabelle dan Elisabeth, lima mangsa lain ialah Fabienne Leroy, 20; Jeanne Marie Desramault, 22; Natacha Danais, 13; Celine Saison, 18, dan Manyana Thumpong, 18 tahun.
Menurut laporan, kesanggupan Monique, bekas jururawat, membantu memuaskan nafsu suaminya dengan cara mencari ‘anak dara’ disebabkan satu perjanjian yang ditandatangani sesama mereka.
Melalui perjanjian itu, Monique meminta Fourniret membunuh suaminya dan sebagai balasan dia akan memenuhi permintaan lelaki itu iaitu meminta anak dara. Fourniret ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan membunuh, namun selepas dibebaskan pada 1987, hidupnya mula berubah apabila Monique menunaikan janji dengan membawa gadis sunti kepadanya.
Dalam mencari mangsa, Monique menggunakan pelbagai alasan supaya mereka terpedaya, sekali gus mengikutnya pulang ke rumah sebelum diserahkan kepada Fourniret.
Meskipun mangsanya tidak ramai, jenayah dilakukan lelaki kelahiran Sedan, Perancis itu mengejutkan banyak pihak. Begitupun, pada 2003, cubaan Monique dan Fourniret untuk memerangkap mangsa seterusnya tidak berjaya apabila mereka ditahan ketika berusaha menculik seorang gadis dari Belgium.
Sejurus ditahan, Monique membuka rahsia mengenai jenayah yang mereka lakukan selama ini, malah pihak berkuasa turut melakukan siasatan sama ada kedua-duanya ada kaitan dalam kes kehilangan ramai gadis di negara lain seperti Belgium, Belanda, Jerman dan Denmark.
Dalam pada itu, Fourniret juga pernah didakwa membunuh penuntut Leeds University, Joanna Parrish, 20, yang bekerja sebagai pembantu guru pada masa itu.
Mayatnya menjadi mangsa rogol selain dijerut sebelum dibuang ke sungai tanpa seurat benang.
Sementara itu, berdasarkan bukti yang ada, Fourniret dan isterinya dibicara pada Mac 2008 atas tuduhan tujuh tuduhan rogol dan bunuh serta bersubahat bermula dari 1987 hingga 2001.
Selepas dua bulan perbicaraan, mahkamah pada 28 Mei lalu menjatuhi hukuman Fourniret bersalah, sekali gus dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala isterinya dijatuhi hukuman penjara 28 tahun tanpa parol atas dakwaan bersubahat.
Sejurus hukuman dijatuhkan, keluarga mangsa yang turut mengikuti perbicaraan berkenaan melahirkan kegembiraan dengan keputusan mahkamah.
Ibu Isabelle, Marie Jeanne Laville, berkata meskipun keputusan itu tidak mampu mengubah apa-apa, termasuk mengembalikan anaknya, dia gembira penjenayah terbabit menerima hukuman.
“Saya boleh bernafas semula,” katanya ketika mengulas keputusan itu.
Jean Pierre Leroy, ibu kepada Fabienne, 20, yang diculik dari tempat letak kereta sebelum ditembak di dada sehingga maut berkata, mereka sekeluarga kini berusaha untuk hidup seperti tidak ada apa-apa berlaku.
“Kami sekarang berusaha untuk kembali kepada kehidupan normal selepas peristiwa buruk menimpa anak kami,” katanya.
INFO
NAMA: Michel Fourniret
UMUR: 66 tahun
LAHIR: 4 April 1942 di Sedan, Perancis
JENAYAH: Dalam kejadian bermula 1987 hingga 2001, Fourniret didakwa atas tuduhan membunuh sekurang-kurangnya tujuh gadis berusia seawal 12 hingga 22 tahun. Sepanjang melakukan jenayah berkenaan dia dibantu isterinya, Monique Olivier, 59, yang turut mencari wanita muda untuk suaminya.
MANGSA: Isabelle Laville, (17 tahun), Fabienne Leroy (20 tahun), Jeanne Marie Desramault (22 tahun) Elisabeth Brichet (12 tahun), Natacha Danais (13 tahun), Celine Saison (18 tahun), Manyana Thumpong (18 tahun)
HUKUMAN: Mahkamah pada 28 Mei lalu mendapati Fourniret bersalah, sekali gus dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala isterinya dijatuhi hukuman penjara 28 tahun tanpa parol atas dakwaan bersubahat.
|
|