Tuah nama bapa
Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
NAMANYA saja cukup istimewa, malah ramai pengunjung restoran ini tertanya-tanya mengapa ia dinamakan Warung Pak Maidin. Siapa Pak Maidin dan mengapa nama bertuah ini menjadi pilihan pemiliknya?
Mengimbas awal pembukaannya di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 1985, nama restoran ini sebenarnya diambil sempena nama bapa pemilik restoran, Kamaruddin Maidin.
Dengan ‘tuah’ nama berkenaan, restoran milik bekas atlet skuad Olimpik di Rome, Itali pada 1960 itu bukan saja terus bernafas, malah mempunyai tiga cawangan, termasuk di Taman Equine, Sri Kembangan, Selangor sejak ia beroperasi.
Kini restoran itu bertukar tangan kepada anaknya, Kama Rezmie Kamaruddin yang menguruskan operasi restoran di cawangan Taman Equine, selain terbabit dengan pelbagai khidmat katering, antaranya dengan Institut Latihan Maybank, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Unit Pentadbiran, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Bukan sekadar istimewa pada namanya, restoran ini juga popular dengan hidangan menarik seperti sajian makanan kampung, masakan Thai dan sajian ala Barat.
Ketika berkunjung ke restoran itu, penulis tertarik melihat hidangan makan tengah hari yang dipanaskan dalam belanga dan kuali untuk disediakan kepada pengunjung.
Pelanggan bukan saja dapat menikmati hidangan lauk pauk yang panas, malah seolah-olah menikmati juadah makan tengah hari di rumah sendiri.
Antara hidangan menarik yang disajikan ialah kari kepala ikan, sotong masak sambal, ikan rebus, sup tulang, asam pedas, udang sambal petai, daging rendang dan ayam masak lemak.
Pelakon, Linda Hashim dan bekas pelajar AF1, Azza dan Atie yang turut sama berkunjung ke situ teruja dan berselera apabila berpeluang menikmati juadah yang disediakan.
“Saya memang kaki makan. Hidangan begini membuka selera kerana sajian masih panas,” kata Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim yang membintangi drama Dewi Cinta siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Azza pula berkata: “Tak rugi ikut Linda, makanan di sini memang sedap. Mungkin selepas ini boleh datang kerap ke sini bersama rakan.”
Manakala Atie yang berselera menjamah makanan sempat bergurau: “Ikutkan selera, semua lauk yang disediakan saya nak makan. Nasib baik perut kecil, saya tak larat nak habiskan semua,” katanya.
Sementara itu, Kama Rezmie berkata, cawangan restoran yang diusahakannya sejak 8 Julai 2006 turut menyediakan hidangan secara ala carte bermula jam 5 petang hingga 2 pagi.
Katanya, hidangan ala carte adalah nasi goreng cina, nasi goreng usa, nasi goreng kampung, daging masak merah, ayam masak halia, sup ekor dan tomyam.
“Bagi membezakan masakan Thai di sini dengan restoran lain, saya menyediakan chef dan tukang masak yang didatangkan khas dari negara berkenaan.
“Tidak lama lagi saya juga akan menyediakan sajian stim bot. Ini untuk menyediakan lebih banyak variasi makanan kepada pengunjung, selain makanan ala Barat,” katanya.
Kama Rezmie berkata, restorannya turut menyediakan khidmat katering, termasuk untuk majlis perkahwinan.
WAKTU OPERASI: Setiap hari dari jam 10 pagi hingga 2 pagi
ALAMAT: Restoran Warung Pak Maidin, No 16-G, Jalan Equine 9f, Equine Square Taman Equine, Seri Kembangan
|
|