» Berita Utama » Setempat » Arena » Bisnes » Mahkamah
» Bestari » Vroom » it@Metro » Santai » Ad-din » Dekotaman » Ekspresi » Hati
» Pakar Sakit Puan » Soal Jawab IT » Mekanik Anda » Dang Setia » Fikrah Dr.Salam » Dr.Sakit Tuan » Tip & Trik » Anda Musykil Dr.Mashitah Jawab
» Isnin » Selasa » Rabu » Khamis » Jumaat » Sabtu » Ahad
» RSS Feeds » Waktu Solat » Versi Digital » Sejarah Metro » Komen Anda
» Sidang Pengarang » Metroneka & Iklan Web » Team Online
» Berita Harian » New Straits Times » Business Times
» Am » Hartanah » Kerjaya » Auto
myMetro » Variasi » Ekspresi

Ekspresi Pantai, pagoda pemikat Danang

Oleh ALIAS ABD RANI
lias@hmetro.com.my



PERJALANAN selama tiga jam menuju ke Danang, Vietnam, sungguh memenatkan, apatah lagi keadaan cuaca ketika itu sekitar 37° Celsius sebaik penulis menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Danang.

Atas undangan Yamaha Malaysia bagi tujuan liputan Kejohanan Bola sepak Bawah 13 Tahun Yamaha Piala Asean 2008, penulis terlebih dulu melakukan kerja-kerja awal dengan mendapat beberapa maklumat daripada teman mengenai Danang.


Maklumlah, kebanyakan rakan menjejak kaki ke negara itu kira-kira lima tahun lalu kerana ketika itu Vietnam menjadi tuan rumah Sukan Sea. Ternyata masing-masing sekadar menggeleng kepala apabila ditanya mengenai Danang.

Rentetan perjalanan penulis bermula dengan dua pesawat — pertama dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh, kemudian ke Danang dengan menaiki Vietnam Airlines.

Sebelum itu berlaku peristiwa melucukan ke atas penulis serta rombongan Yamaha Malaysia apabila kami tertinggal beg di Lapangan Terbang Saigon di Ho Chin Minh.

Ketika itu penulis dan rombongan menyangka beg berkenaan dihantar terus ke pesawat untuk ke Danang tetapi ternyata ia tidak sama sekali.

Kejadian melucukan itu disedari sebaik penulis dan rakan lain membuat daftar masuk bagi penerbangan ke Danang dan memaksa kami berpatah balik untuk mendapatkan beg berkenaan.

Jam di tangan menunjukkan 8 malam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang dan pada masa itu penulis terkial-kial mencari maklumat mengenai wilayah Danang.

Akhirnya, penulis bertemu seorang urusetia warga tempatan yang ditugaskan untuk mengiringi rombongan Yamaha Malaysia, termasuk penulis, dan ketika itu baru banyak maklumat diperoleh.

Daripada rentetan perjalanan itu, penulis mula memahami berkaitan Danang yang terkenal sebagai wilayah pelabuhan, selain menjadi satu destinasi pelancongan di negara itu.

Danang terletak di antara dua bandar raya utama iaitu Hanoi dan Ho Chi Minh. Jaraknya 764 kilometer dari Hanoi yang terletak di utara dan 965km ke Ho Chi Minh di selatan.

Sebelum 1997, bandar itu adalah sebahagian daripada wilayah Quong Nam-Da Nong, tetapi dipisahkan dan dijadikan majlis perbandaran keempat di Vietnam.

Simbol Danang berteras tiga rona biru iaitu gunung, sungai dan laut, sementara tiga rona putih mewakili udara, langit dan pasir.

Warga Danang memang pelik orangnya. Sebaik penulis tiba di wilayah itu, mereka kelihatan kehairanan. Penulis tertanya-tanya, apa menyebabkan mereka kelihatan seperti itu?

Namun menurut tanggapan beberapa teman, mungkin wilayah itu jarang dikunjungi warga asing yang membuatkan mereka kaget melihat kami.

Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis apabila berkunjung ke Danang, khususnya pelancong asing, ialah kebanyakan peniaga menggunakan mesin kira (kalkulator).

Bunyinya macam perkara biasa, tetapi penulis sedar mesin kira itu sebenarnya digunakan untuk urusan tawar menawar dengan pelancong kerana majoriti peniaga dan warga di wilayah itu tidak fasih bertutur Bahasa Inggeris.

Danang memiliki pesisiran pantai menarik sejauh 30km. Pantainya terkenal, terutama di kalangan pelancong dari Eropah. Antaranya Nam O, Xuan Thieu, Thanh Binh, Tien Sa, Son Tra, My Khe, Bac My An dan Non Nuoc.

Pantai My Khe antara yang terkenal di wilayah itu. Pesisiran sejauh 900m menjadikannya tarikan pelbagai lapisan baik warga tempatan mahupun pelancong. Aktiviti utama di pantai itu berkaitan sukan air, terutama meluncur air.

Satu lagi tarikan di Danang ialah Citadel of Hue, sebuah kawasan yang dipenuhi kuil lama, kubur serta pagoda dan kini diwartakan sebagai kawasan Warisan Budaya Dunia oleh Unesco.

Wilayah ini menuju ke arah zon bebas merokok dan usaha berterusan itu dijangka mengambil masa beberapa tahun. Tujuannya ialah menarik pelabur, selain meningkatkan sosio-ekonomi di wilayah itu.

Danang memiliki lapan daerah iaitu Cam Le, Hai Chau, Hoa Vang, Hoang Sa (Kepulauan Paracel), Lien Chieu, Ngu Hanh Son, Son Tra dan Thanh Khe.

Selain itu, di daerah Hai Chau ada sebuah gunung dinamakan Gunung Marble. Gunung ini mengandungi lima elemen utama dalam masyarakat China iaitu logam (Kim), kayu (Moc), air (Thuy), api (Hoa) dan bumi (Tho).

Wilayah Danang antara tiga bandar yang menjadi tumpuan utama pelancong di Vietnam, dengan keluasan 1,248km persegi serta 800,000 penduduk selain beriklim monsun tropika dengan suhu pada tahap 25.6° Celsius.

Carian Artikel
Lain-lain artikel :



VARIASI

Ad-Din

lagi
it@Metro
lagi
lagi
lagi
lagi
lagi


 
MUKA DEPAN | BERITA | RAP | VARIASI | TANYA PAKAR | VIDEO | ARKIB SEMINGGU | INFORMASI | TEAM METRO | I-METRO
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2008 The New Straits Times Press (M) Berhad tracker