Keunikan Atomium, Mini-Europe
Oleh SITI SURIANI OTHMAN
metahad@hmetro.com.my
BARANGKALI namanya tidak seunggul Paris atau Rome, namun Brussels tetap istimewa. Peluang berkunjung ke ibu negara dan kawasan bandar terbesar di Belgium itu baru-baru ini bersama suami dan rombongan pelajar Malaysia dari seluruh United Kingdom (UK) meninggalkan 1,001 pengalaman manis kepada penulis.
Sekadar maklumat, sehingga pertengahan 2008, rekod menunjukkan populasi Brussels mencecah sejuta orang setiap 161 kilometer (km) yang membawa kepada kepadatan penduduk seramai 6,635 orang setiap km.
Brussels yang terkenal dengan waffle, coklat dan kentang goreng mengundang lebih 300,000 pelancong setiap tahun dan membawa keuntungan sehingga tiga juta euro (RM15 juta) kepada Belgium.
Antara kunjungan paling menarik di Brussels ialah Mini-Europe dan Atomium. Mini-Europe yang terletak berhampiran Atomium atau di ‘kaki’ Atomium adalah satu-satunya taman yang bagaikan membawa pengunjungnya ‘melancong’ ke seluruh Eropah dalam masa singkat.
Dengan hampir 350 miniatur bangunan utama lebih 80 bandar di seluruh Eropah termasuk UK, pastinya Menara Eiffel di Paris, Grand Palace di Belgium dan Acropolis di Athens bukan saja memberi pelbagai maklumat berguna, tetapi juga memberi inspirasi kepada kita memahami kemajuan tamadun mereka.
Bangunan itu dibentuk dalam pelbagai saiz berbeza. Dengan skala antara 1 hingga 25, monumen utama dunia itu dibina dengan penuh teliti. Ada miniatur berharga mencapai 350,000 euro (RM1.8 juta). Penulis terpana dengan ketelitian binaannya yang saling tak tumpah seperti bangunan asal.
Big Ben dibina dengan ketinggian empat meter dan Menara Eiffel pula setinggi 13 meter. Dua miniatur itu menampilkan ketelitian seni bina berbanding rekaan asalnya.
Lebih menarik, model yang dibina semuanya boleh berfungsi dengan baik, membolehkan pengunjung melihat pergerakan model seperti gerakan kincir angin mahupun perjalanan kereta api Eurostar yang merentas lautan dalam dari Barat Eropah ke London dan Kent di UK dengan Paris, Lille di Perancis dan Brussels. Realitinya, kereta api laju yang beroperasi sejak 1994 itu mampu mencapai kelajuan 300 km sejam.
Pemilihan monumen berkenaan berdasarkan kualiti seni bina atau sejauh mana ia boleh berfungsi sebagai simbol kemajuan Eropah. Kajian demi kajian yang membabitkan kos sehingga 200,000 euro (RM1 juta) membolehkan monumen itu dibina dengan gah.
Dalam koleksi monumen itu, Menara Pisa yang terletak di Itali misalnya dibina menggunakan batu marmar. Menara condong itu berfungsi sebagai menara loceng atau Campanile yang mempunyai tujuh loceng semuanya.
Memandangkan seni bina asal bangunan ini adalah daripada batu marmar putih, ia turut dibina menggunakan batu marmar di Mini-Europe.
Selain itu, bangunan yang menarik perhatian di Mini-Europe adalah Grand Place yang terletak di Brussels. Diiktiraf Unesco sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia pada 1998, Grand Place atau Grote Market dalam bahasa Belanda menjadi dataran utama di Brussels.
Paling menarik, pengunjung berpeluang melihat ‘karpet bunga’ yang ditukar corak dan bunganya setiap tahun. Karpet bunga itu yang terbesar di dunia dan dihasilkan setiap dua tahun sejak 1976.
Tahun ini ia diadakan selama tiga hari pada Ogos dan sambutan karpet bunga akan datang ialah pada Ogos 2010.
Corak bunga pada karpet itu diinspirasikan daripada pola Parsi dan Turki. Kerap kali reka corak karpet itu didasarkan kepada motif bunga dan tumbuhan, selain diselang-seli dengan corak berunsur diraja.
Warna karpet berwarna-warni terbit daripada warna oren bunga Dahlia misalnya, warna hijau daripada rumput dan coklat daripada batang pokok yang memberi tona coklat.
Satu lagi binaan yang bersejarah dan menarik perhatian di Mini-Europe adalah Acropolis di Athens, Greece. Monumen itu disenaraikan sebagai satu daripada Warisan Budaya Eropah pada 26 Mac 2007 dengan ketinggian mencapai 150 meter di atas paras laut bandar Athens.
Rasa teruja melihat binaan itu kerana Acropolis antara tujuh benda ajaib di dunia yang diumumkan pada 7 Julai 2007 di Lisbon, Portugal.
Selesai di Mini-Europe, penulis melawat Atomium, satu lagi seni bina unik di Brussels ciptaan Andre Waterkeyn.
Dengan ketinggian 102 meter, ia menggamit pandangan dengan sembilan bola besi disambungkan dari satu bola ke bola yang lain dan membentuk satu unit sel yang dibesarkan sehingga 165 bilion kali berbanding saiz asalnya.
Atomium pada asalnya dibina untuk ‘Ekspo ’58’ hanya untuk tempoh enam bulan. Namun, keunikannya menjadikan ia terus dipelihara dan kekal hingga kini. Bentuknya yang unik menjadikan Atomium memerlukan penjagaan rapi.
Demi keselamatan pengunjung, ia dibaik pulih pada Mac 2004 sehingga Febuari 2006. Pengubahsuaian itu termasuk menggantikan aluminium bola yang lusuh kepada kepingan besi tahan karat yang berkilat.
Untuk menampung kos pengubahsuaiannya, kepingan aluminium lama yang ditukar baru dijual dengan harga 1,000 euro (RM5,000) bagi setiap dua meter panjang. Selepas dibaiki, Atomium dibuka semula kepada orang ramai dan tahun ini ia menyambut ulang tahun ke-50 pembinaannya.
Untuk tujuan keselamatan, tiga bahagian teratas Atomium yang kurang sokongan menegak tidak dibuka untuk kunjungan ramai. Ini kerana, rekod menunjukkan struktur itu boleh tumbang dengan kelajuan angin 80 km sejam.
Catatan kelajuan angin di Belgium yang tertinggi pula pernah dirakam mencapai 140 km sejam! Pastinya penulis yang menaiki Atomium cuak dengan ayunan perlahan strukturnya, tetapi ia antara pengalaman paling diingati di Brussels.
|
|