myMetro

Kutip makanan




DALAM kegelapan malam, perlahan-lahan Star Khechara menghampiri longgokan sampah dan memerhati sekeliling. Selepas yakin keadaan mengizinkan, dia menyelongkar timbunan bahan buangan sebelum berdiri bersama pelbagai buah-buahan, sayuran dan coklat yang mencukupi untuk menjadi makan malamnya.

Bagaimanapun, Star, 32, bukan orang gelandangan. Dia adalah pakar pemakanan dan model yang kini menyertai ratusan orang lain di Britain yang berpegang kepada fahaman ‘freeganism’ sebagai cara hidup.

Melalui ‘freeganism’, mereka yakin dunia boleh diselamatkan dengan memanfaatkan makanan terbuang.

Pasar raya seluruh Britain menghasilkan 1.6 juta tan makanan terbuang setahun, selain penduduk negara itu membuang lima peratus daripada hidangan setiap hari. Semua itu terkumpul di tapak pembuangan.

Disebabkan amalan ‘freeganism’ semakin popular, kumpulan berkenaan menerbitkan majalah mengenainya di Internet, selain rancangan memasak menyediakan pelbagai resipi dan petua melalui ‘online’.

Kata Star, kebanyakan orang akan memaling pandangan daripada bahan buangan pasar raya.

“Namun anda akan terkejut melihat sisa buangan yang masih boleh digunakan dibuang setiap hari,” katanya.

Star berkata, dengan amalan ‘freeganism’, dia membantu mengurangkan masalah pembuangan bahan makanan di Britain.

Sejak berusia 18 tahun, Star hanya memilih sayur-sayuran sebagai bahan makanannya. Ketika itu juga dia berpindah dari rumah dikongsi bersama ibunya di Plymouth untuk tinggal bersama dua rakan pelajarnya di sebuah apartmen.

Disebabkan sering bergelut dengan masalah kewangan, seorang teman serumah Star mencadangkan mereka mencuba amalan ‘freeganism’ selepas ia dipopularkan di Amerika Syarikat.

Beberapa hari kemudian, mereka menyelongkar bahan buangan pasar raya berhampiran dalam ekspedisi pertama. “Ia sangat menarik,” kata Star.

Walaupun bau dari bekas sampah itu mencucuk hidungnya, ia tidak seteruk dijangka.

“Kami menemui beberapa beg ubi kentang, salad dan epal masih elok berbungkus. Kebanyakan barangan itu tamat tempoh pada hari kami menemuinya,” katanya.

Mereka turut menjumpai pelbagai bar coklat yang rapi dalam bungkusan. “Kami membawanya pulang untuk dimakan dengan roti,” katanya.

Bagi Star, pengalaman pertama itu benar-benar memberi kesedaran kepadanya.

Katanya, dia terkejut melihat betapa banyak makanan terbuang setiap hari. Justeru, dia nekad menjadi pengikut ‘freeganism’ sepenuh masa.

Kini, Star hanya membeli keperluan asas seperti susu soya dan makanan dalam tin. Selebihnya, dia menyelongkar timbunan bahan buangan tiga kali seminggu bagi mendapatkan sandwic, kek, roti, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Katanya, dia dapat menjimatkan perbelanjaan dapur sehingga £30 (RM186) seminggu.

“Setiap hari banyak makanan dibuang hanya kerana tiba tarikh luput atau pembungkusan rosak.

“Melalui ‘freeganism’, saya membantu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan pada masa sama menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Tidak hanya makanan, Star turut membawa pulang barangan lain yang difikirkan sesuai seperti perabot, laci dan rak buku.

Turut menghiasi kediamannya adalah pita perakam dan bidai rotan terpakai.

Apabila dia berkahwin pada 2003, Star turut memujuk suaminya, Martin, menyertai ekspedisi menyelongkar bahan buangan.

“Pada peringkat awal, Martin kurang berminat apabila gaya hidup saya diceritakan kepadanya. Malah dia tidak mengikut apabila saya keluar mencari makanan dalam timbunan sampah,” katanya.

Martin cuma teruja apabila menemui pelbagai jenis perabot yang masih elok dan boleh digunakan.

Selepas Star hidup berasingan dengan Martin, kini teman lelaki barunya menunjukkan minat sama. Cuma, Star kini menghadapi sedikit masalah.

“Pasar raya di Plymouth mula mencurah cecair pencuci ke atas bahan buangan mereka, atau mengunci bekas sampah untuk menghalang kami menyelongkar di situ.

“Puncanya, pihak pasar raya bimbang jika kami menyaman mereka jika terkena keracunan makanan,” katanya.

Untuk mengatasi masalah itu, Star dan rakannya terpaksa berjalan lebih jauh untuk mendapatkan bahan buangan di pasar raya lain.

Secara teknikal, mereka boleh didakwa mencuri atau menceroboh harta persendirian, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

Kata Star, dia tahu apa yang dilakukan bertentangan dengan undang-undang, tetapi dia tidak melihat ia sebagai kesalahan.

“Barangan itu memang akan dibuang ke tapak pelupusan, jadi mengapa kita tidak boleh memanfaatkannya?” tanya Star. — Agensi

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad