Cabaran Gunung Suku
Oleh SULIATI ASRI
MENDAKI 100 anak tangga sudah cukup meletihkan, inikan pula mendaki gunung setinggi 1,796 meter.
Ditambah pula dengan bebanan beg seberat 25 kilogram yang menjadi teman setia dan laluan yang meredah denai hutan khatulistiwa yang penuh rintangan. Semua itu lengkap untuk menghadirkan cabaran menyeksakan.
Namun dengan keazaman tinggi untuk menawan kemuncak Gunung Suku bagi menikmati pemandangan indah flora dan fauna, itu semua bukan penghalang bagi penulis bersama sembilan rakan dalam satu ekspedisi, baru-baru ini.
Terletak berhampiran Simpang Pulai di Perak, Gunung Suku antara gunung yang dikategorikan mengandungi hutan dipterokarp bukit dan hutan dipterokarp atas atau lebih dikenali sebagai hutan lumut.
Walaupun tidak terkenal seperti ‘jirannya’ Gunung Irau dan Gunung Brinchang, itu tidak bermakna pendaki boleh menawan Gunung Suku dengan mudah.
Seawal pendakian lagi, kami diuji dengan trek laluan yang licin dan mencanak sehingga memaksa kami kerap berhenti rehat.
“Ini baru permulaan. Setengah jam lagi kita akan jumpa laluan yang landai,” kata Wan Azman Wan Mahmud selaku ketua ekspedisi memberi semangat kepada kami yang mula merungut kepenatan dan seakan-akan putus asa.
Selepas sejam meneruskan perjalanan, keadaan trek bertambah sukar hinggakan kami terpaksa memanjat serta menjadikan akar kayu sebagai pendorong untuk meneruskan pendakian.
Kesejukan mula dirasai dan kehijauan pokok hutan hujan khatulistiwa yang ada di situ cukup mengagumkan dan bagaikan petanda kami di pertengahan jalan.
Dengan ditemani hujan lebat, akhirnya selepas empat jam mendaki, kami sampai di anak sungai yang terletak pada ketinggian 1,200 meter, iaitu kira-kira sejam sebelum tiba ke puncak.
Anak sungai itu menjadi sumber air yang terakhir untuk pendaki memandangkan tiada air di puncak.
Air sungai yang sejuk dan kawasan lapang di situ digunakan sepenuhnya oleh kami untuk menikmati makan tengah hari dan berehat.
Untuk sampai ke puncak, kami sekali lagi terpaksa melalui trek yang mencacak pada kecerunan 70 hingga 80 darjah.
Kami meneruskan pendakian dalam keadaan yang hampir memanjat kerana banyak berpaut dan melonjak.
Dalam keadaan ini, akar pokok banyak membantu pendakian kami.
Hujan sudah berhenti dan cuaca sejuk pula menjadi menemani perjalanan.
Dalam keadaan yang kedinginan, senyuman mula terukir dengan pemandangan yang sungguh cantik.
Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat.
Trek yang lembap, pokok yang ditumbuhi lumut dan kepelbagaian spesies flora dan fauna yang hidup di dalam habitat asalnya sungguh mempesonakan.
Periuk kera (nephantes sp), tikus hutan lumut (rattus niobe) dan cendawan tiram kerabu (pelurotus sajorcaju) antara spesies flora dan fauna yang menjadi sajian pemandangan mata ketika sampai di puncak.
Sesuatu yang mengagumkan penulis ketika di puncak Gunung Suku ini selain keindahan pemandangannya adalah persekitarannya yang terpelihara dan kurang pencemaran sampah berbanding kawasan pergunungan lain.
Berada di puncak Gunung Suku, selain berpeluang melihat matahari terbenam, pendaki juga berpeluang melihat puncak Gunung Irau, Gunung Brinchang dan pemandangan malam bandar Ipoh.
Info
> Berada di dalam kategori gunung melebihi altitud 1, 500 meter yang tumbuhannya dikenali sebagai hutan lumut.
> Gunung Suku adalah puncak tertinggi yang boleh dilihat dari tepi lebuh raya Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands.
> Terletak kira-kira lima kilometer dari perkampungan Orang Asli Pos Slim.
|
|