>Lali lihat air mata penghuni
“SAYA sudah lali melihat mereka menangis, bercakap bersendirian dan tidak tidur malam akibat terlalu memendam rasa rindu dan kesunyian,” kata Penyelia Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Saiful Nizam Zulkifli.
Saiful Nizam, 23, yang menjadi penyelia sejak pusat jagaan itu beroperasi Mac lalu tidak menafikan dia dan rakan sekerja lain menjadi tempat mengadu, malah menjadi bahan ‘rujukan’ dan pertolongan penghuni yang berusia 40 tahun ke atas.
Contohnya, Hamid, Saiful Nizam bukan saja setia mendengar luahan hati, malah saban minggu dia menjadi penghantar surat yang ditulis lelaki itu untuk anaknya.
“Bukan saja pak cik Hamid, hampir semua penghuni PJNH sering bersedih dan meluahkan isi hati kepada kami. Ia sudah menjadi sebahagian tugas kami, malah saya menganggapnya bukan masalah besar.
“Ini kerana, secara keseluruhan tanggungjawab kami lebih berat kerana bukan mudah untuk melayan dan memenuhi kehendak mereka yang sensitif dan kurang upaya,” katanya.
Saiful Nizam berkata, penghuni di situ yang sudah menjangkau usia emas ada kalanya cerewet, ‘mengada-ngada’ malah berkelakuan keanak-anakan seperti menangis pada waktu malam, terkencing di tempat tidur atau bercakap berseorangan.
“Pada saya perangai merengek, cerewet dan lain-lain bukan sengaja diada-adakan, sebaliknya ada antara mereka berbuat demikian kerana mahukan perhatian dan ingin tempat mengadu untuk mengisi kesunyian,” katanya.
Katanya, mengambil hati penghuni bukan perkara mudah memandangkan mereka sudah tua dan sering ‘berkias’ apabila mengadu sebarang masalah yang dihadapi.
“Pilihan yang ada untuk menenangkan mereka ialah memujuk seperti memberi nasihat dan kata semangat. Jika dibiarkan, mereka akan jadi lebih sukar diurus dan cerewet.
“Apa yang saya lihat, kebanyakan mereka ‘kesunyian’ selain rindu anak dan isteri. Malangnya, bukan semua daripada mereka di sini mendapat perhatian keluarga.
“Ada juga sebatang kara, lantaran itu sikap mereka sukar difahami,” katanya yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur sebagai pekerja sosial sebelum ini.
“Jika berdepan orang tua yang nyanyuk, tiada masalah buat saya, tetapi masalah membabitkan peribadi dan keluarga memang rumit, malah saya turut emosi dan sedih apabila berkongsi masalah dengan mereka.
“Begitupun, pengalaman sebagai pekerja sosial sangat bermakna pada saya. Malah, selama di sini saya terima banyak pengajaran berguna,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.
Sementara itu, Pembantu Penyelia dan Petugas Khas PJNH, Chik Abu, 55, berkata melayan penghuni di pusat jagaan berkenaan tidak serumit yang disangka, malah dia menyangkal tanggapan masyarakat yang menganggap tugas itu sukar kerana terpaksa melayan orang tua yang banyak karenah.
Katanya, selama bekerja di situ, dia bukan saja berkongsi suka duka bersama penghuni, malah menganggap melakukan pekerjaan itu sebagai ‘ibadat’ dan amal sebagai manusia untuk membantu orang lain.
“Saya bersyukur dapat hidup bersama keluarga dan masih disayangi suami dan anak. Apabila melihat ‘kesukaran’ penghuni di sini, terutama yang rindukan anak dan isteri, saya insaf.
“Bagi saya, walaupun sekadar memberi galakan dan nasihat, ia memadai buat mereka. Saya menganggap ia tanggungjawab untuk membantu orang yang dalam kesusahan,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai tentera.
|
|