Mat Laga: Rambang makanan
KEDATANGAN Ramadan memberi peluang memperbaiki diri, belajar mengawal emosi, berniaga dan juga membuat amal jariah.
Sebut pasal juadah berbuka puasa ini, teringat Mat Laga dengan kawan pejabat. Sebelum bulan puasa hari tu, dengan penuh semangat berazam menguruskan badan. Yalah, mahu kelihatan kurus dan cantik dengan beberapa pasang baju raya yang ditempah enam bulan lepas.
Tapi bila dah puasa ini, Mat Laga tengok semakin menjadi-jadi seleranya. Masuk saja pejabat, sibuk bercerita pasal buka puasa. Pantang ada jemputan berbuka puasa, semua dihadirinya. Azam setinggi Gunung Kinabalu untuk menguruskan badan hilang entah ke mana.
Tambah pula, hotel dan restoran berlumba-lumba mengadakan promosi berbuka puasa dengan menyediakan pelbagai jenis hidangan dan harga murah.
Masakan kampung, Cina, Barat, semuanya ada. Sampai rambang mata dibuatnya dan tidak tahu mahu makan apa dulu.
Kalau macam itu gayanya, macam mana mahu kurus? Semakin mengembang adalah. Silap haribulan, baju raya yang berpasang-pasang itu semakin ketatlah nampaknya atau langsung tidak muat.
Mat Laga bukan nak menyibuk, tapi cubalah berpada-pada sikit. Bukankah bulan puasa ini kita digalakkan bersederhana, terutama dalam perbelanjaan, dan mengelak pembaziran.
Kalau badan dah naik dan baju raya tidak muat, raya ini terpaksa beli baju baru. Baju raya yang sudah siap itu nampak gaya terpaksa disimpan dalam almari. Bukankah itu satu pembaziran.
MAT LAGA: Bersederhana di bulan puasa
|
|