Bali jamu budayaOleh ABIE ABDULLAHabie@hmetro.com.my JALAN Kuta dan Legian menjalur ke Seminyak semakin berbeza apabila malam berganti siang. Puluhan pusat hiburan mendengungkan bunyian di celah-celah butik dan kedai kraftangan bagi tarikan pengunjung ke Bali, Indonesia.
Sepanjang Kuta saja, beberapa pusat muzik dan tari dibina. Muzik dan kebingitannya dibiarkan lepas tanpa pintu menghalang. Semakin lain dengan munculnya barisan gadis muda dengan pakaian separa bogel menari di tepi jalan sebagai umpan untuk menarik pengunjung. Pemandangan ini mengingatkan penulis kepada kota Bangkok (Patpong) dan Phuket (Patong). Tiada segan silu menayang tubuh demi sesuap nasi. Hal ini diakui pemandu pelancong yang hanya dikenali sebagai Mamunas, yang kebetulan menjadi panduan kumpulan penulis selama empat hari di sana, baru-baru ini. Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak sedikitpun mencemar budaya asal milik orang Bali di pulau Dewata itu. “Rata-rata mereka orang dari luar Bali yang datang mencari makan di sini. Orang luar juga yang membuat onar, termasuk gadis yang anda maksudkan itu. Sedangkan orang Bali masih kuat pegangan dalamannya dan tidak akan sesekali menyakiti orang lain, terutama tetamu kami seperti anda. “Kami diajar menghormati orang lain dan apa jua agama atau pegangan, menghormati sesama manusia itu terlalu mustahak dalam memastikan kedamaian dunia,” kata Mamunas yang sudah 20 tahun menjadi pemandu pelancong. Lanjutan perbualan itu juga, kata Mamunas, kejadian pengeboman Kelab Sari pada Oktober 2002 dilihat sebagai iktibar kepada semua manusia kerana hilangnya perasaan hormat di antara satu sama lain. Pun begitu, katanya, Bali masih kekal dengan keindahan budaya dan panorama yang memukau. Penulis setuju dengan kata-katanya. Jurang tinggi di Uluwatu (tempat tarian Kecak dipersembahkan) berlatarkan matahari terbenam masih menjadi antara tarikan utama. Juga Candi Kuning di Tasik Bratan, Bedugul, kuil laut di Tanah Lot dan pantai putih Kuta tetap kekal dengan keindahannya. Belum lagi yang menggemari pemandangan hijau padi huma yang ditanam bertingkat serta bunga segar dan strawberi lebat di sepanjang mendaki bukit ke Bedugul. Semua ini di dalam pakej pelancongan kepada orang luar yang ingin mengenali Bali. Turut dimasukkan di dalam peta pelancongan - pusat kraftangan perak, emas, lukisan serta beberapa restoran yang terkenal dengan masakan Minang atau Padang. Tidak terkecuali yang suka meluncur, terutama warga Australia yang menjadi pelawat paling ramai ke pulau itu. Penulis Ke Bali atas ajakan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd (JMDSB), Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali, tidak terlepas daripada pakej pelancongan yang ditetapkan. Mungkin bosan bagi yang pernah dua tiga kali ke sana tetapi bagi penulis, keseronokan tetap ada. Tanah Lot, Ubud, Soekawati, Uluwatu dan Bedugul dilawati seperti biasa. Bagi yang pertama kali, tentu pengalaman ini tidak boleh dilupakan, terutama yang suka membeli-belah. Di setiap tempat yang dilawati, pasti ada orang berjualan. Bagaimanapun penulis sempat 'melarikan diri' dengan beberapa teman untuk menikmati apa yang tiada di dalam peta pelancongan itu. Arah kami ialah Jalan Ganesha yang terkenal dengan deretan hotel-hotel mewah serta kafe-kafe tepi laut. Biarpun tidak memasuki hotel berkenaan, tetapi cukup membuatkan kami kagum dengan seni binanya. Sempat juga kami melepaskan lelah di sebuah kafe yang turut menawarkan khidmat urut dan penjagaan kuku yang terkenal di kalangan penggemar pantai dari seluruh dunia. Kebetulan pula, rombongan Jamu Mak Dara yang ke Bali untuk meraikan stokis dan rakan media turut disertai oleh penyanyi terkenal, Salamiah Hassan sebagai artis jemputan. Menurut Syed Muhammad Gadaffi atau Habib, objektif percutian ini untuk memberi penghargaan dan semangat kepada mereka untuk meningkatkan produktiviti, seterusnya menambah jualan mereka. Ia juga bagi memberi semangat kepada stokis dan pengedar lain supaya bekerja lebih keras. “Saya lebih menyifatkan percutian ini sebagai percutian sebuah keluarga besar. Bagi saya, stokis JMDSB ialah keluarga kami. Alhamdulillah, objektif ini mencapai sasaran kerana kami meraikannya dengan gembira,” kata Habib. Kata Habib, beliau mahu mengotakan janji yang dibuat ketika melancarkan produk itu, baru-baru ini. Inilah dia apa yang beliau janjikan dulu. “Selepas ini akan ada lagi stokis lain yang dapat tajaan pelancongan ke mana-mana destinasi yang bakal diumumkan. Percutian ini berkonsep santai, tiada acara lain, hanya percutian semata-mata. Saya tidak mahu membebankan stokis dengan bebanan kerja ketika bercuti,” katanya. Sepanjang empat hari di Bali, rombongan dapat pengalaman melawat tempat menarik seperti Candi Kuning, Bedugul, Tanah Lot, Tasik Bratan, Danau Temple, Ocean Temple menonton tarian Barong dan acara 'wajib' iaitu membeli-belah. Bagaimanapun, perlu diingat kepada yang ingin menukar wang di sana kerana di sesetengah premis, mereka mengenakan komisen. Biarpun tertera harga pada papan iklan di depan kedai, belum tentu harga itu yang akan anda peroleh. Berhati-hati juga, biar dikatakan tanpa komisen tetapi apabila tiba di mesin kira, mereka turut mengira komisen berkenaan. Penulis melalui pengalaman ini tetapi belum tertipu! |